Penduduk dewasa di Selangor yang belum dihubungi untuk suntikan vaksin Covid-19 boleh mendapatkan tarikh janjitemu di bilik gerakan vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak anjuran kerajaan negeri Selangor akan berada di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang esok.

Berdasarkan poster, program bagi memastikan tiada penduduk negeri itu tercicir daripada menerima suntikan pelalian terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.

Orang ramai yang berminat perlu membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta memasukkan kod baucar yang betul.

Kod baucar KLANG26SEP perlu dimasukkan bagi Selvax Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang.

Hari ini, berlangsung Selvax bergerak di Dewan Komuniti Damansara Damai dan Kampung Chempaka Basketball Court, Bandar Utama.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berperingkat.

Antara DUN terlibat ialah Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil, Subang Jaya dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri berkenaan. – MalaysiaGazette