JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengakui kadar pematuhan rakyat negeri ini terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 semakin menurun.
Semalam sahaja sebanyak 222 nasihat telah dikeluarkan kepada individu yang didapati melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, sejak Johor memasuki Fasa 2 PPN pada 24 September lalu sebanyak 10 kenderaan telah diarah berpatah balik ketika cuba melakukan pergerakan rentas daerah kerana pemandunya tidak lengkap vaksinasi.
“Apa yang dilihat kadar pematuhan orang ramai sudah semakin rendah, untuk itu polis Johor juga telah menggerakkan operasi pematuhan terhadap SOP yang telah ditetapkan kerajaan.
“Selepas ini kita tidak akan lagi memberi nasihat tetapi sebaliknya sesiapa sahaja melanggar SOP akan terus dikenakan kompaun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Pada 24 September lalu, Johor telah beralih memasuki Fasa 2 PPN yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran khususnya berkaitan sektor ekonomi dan aktiviti riadah dibenarkan.
Tambah Ayob Khan, pihaknya juga akan meningkatkan operasi pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan awam dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.
“Antara lokasi yang diberi tumpuan adalah di pusat beli belah, pantai dan pusat rekreasi bagi memeriksa sama ada masyarakat terus patuh SOP termasuklah syarat individu perlu lengkap vaksin,” ujarnya. – MalaysiaGazette