KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) menafikan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perbelanjaan melebihi RM2 bilion dibayar kepada konsultan untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menterinya, Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, buku perancangan pembangunan negara untuk lima tahun itu disediakan para pegawai Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri di bawah seliannya hasil input daripada libat urus dengan pelbagai pihak.
“Untuk pengetahuan, UPE tidak pernah membelanjakan wang sebanyak itu untuk menyiapkan buku RMK-12 seperti yang didakwa.
“Penyediaan RMK-12 melibatkan kos yang amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perunding media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Anwar ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya berharap Datuk Seri Anwar dapat memperbetulkan kenyataan beliau bagi mengelak persepsi negatif terhadap pegawai UPE dan kerajaan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, pada sesi perbahasan RMK12, Anwar mengajukan pertanyaan mengenai RM2 bilion telah diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan buku RMK-12.- MalaysiaGazette