KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengambil tanggungjawab atas teguran beberapa pihak berhubung tindakan pemandunya yang didakwa memotong barisan di laluan garisan berkembar seperti yang tular baru-baru ini.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu turut berterima kasih kepada pihak yang merakam dan menegur kesalahan tersebut sama ada secara terus atau melalui komen di media sosial.
Beliau mengambil tanggungjawab atas teguran dan menjadikannya sebagai penambahbaikan buat diri dan kakitangannya.
“Staf saya telah dipanggil memberi keterangan kepada polis dan saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
“Sekiranya dikenakan hukuman, semoga ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat beliau dan saya sendiri. Biarlah hukuman itu di atas dunia, andai dengan sebab itu, ia melepaskan kami dari hukuman di akhirat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
Semalam, tular di media sosial sebuah video memaparkan sebuah Toyota Alphard berwarna hitam memotong kenderaan lain di garisan berkembar.
Tindakan pemandu MPV itu dilihat hanya mementingkan diri sendiri apabila cara pemanduannya membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Ahmad Marzuk turut memohon maaf di atas isu yang timbul dan semoga kejadian itu memberi peluang untuk mereka terus menjalankan tugas dengan jujur dan berintegriti demi rakyat Malaysia.
Jelasnya, setiap orang tidak lari dari kesalahan dan perlu ada insan lain yang menegur kesalahan tersebut. Setiap teguran adalah penambahbaikan, terutama kepada seorang pemimpin. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Polis Kelantan terima laporan kenderaan ‘P45’ langgar peraturan jalan raya