Petugas Kesihatan mengendalikan pengebumian 10 jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Negara merekodkan sebanyak 240 kes kematian akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data yang dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui laman sesawang COVIDNOW, jumlah kumulatif angka korban akibat wabak tersebut kini mencecah 25,935 kes manakala 71 kes merupakan kematian di luar hospital (BID).

Lembah Klang masih mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu sebanyak 62 kes, disusuli Johor (47), Sabah (38) dan Kedah sebanyak 20 kes.

Manakala negeri yang mencatatkan angka kematian di bawah paras 20 kes pula membabitkan Pulau Pinang iaitu sejumlah 18 kes, Sarawak (15), Kelantan (14), Perak (10), Terengganu (7) dan masing-masing empat kes di Pahang dan Melaka.

Perlis pula mencatatkan satu kes kematian akibat Covid-19.

Sementara Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya tidak merekodkan sebarang pertambahan kes kematian.

Dalam perkembangan lain, laman sesawang berkenaan turut melaporkan jumlah kes aktif sebanyak 174,492 dengan 9,278 pesakit Covid-19 masih ditempatkan di hospital.

COVIDNOW turut berkongsi angka individu yang menjalani kuarantin di rumah iaitu seramai 144,631 bersamaan dengan 83.3 peratus manakala seramai 19,598 masih berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC). – MalaysiaGazette