Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mendesak Kementeri Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara memberikan penjelasan secara telus dan terbuka mengenai kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, siasatan kes ini telah menjadi sejarah hitam negara.

“Rakyat dan keluarga arwah berhak untuk mengetahui bagaimana siasatan yang dijalankan sebegitu lama gagal membawa suspek-suspek ke muka pengadilan.

“Kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin baru-baru ini bahawa kes penyiasatan pembunuhan Allahyarham Adib Kassim ditutup sementara dan akan dibuka semula sekiranya wujud keterangan, maklumat dan bukti-bukti baharu dan komited untuk terus mencari siapa yang telah menyebabkan kematian Adib.

“Kenyataan tersebut sekali gus mengesahkan dapatan Mahkamah Koroner pada 26 September 2019 bahawa anggota bomba itu terkorban akibat perbuatan jenayah bunuh oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali berbanding dakwaan bekas Peguam Negara Tommy Thomas terdahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Asyraf berkata, sudah tiba masanya juga pihak kerajaan untuk memberikan pengiktirafan kepada Allahyarham Muhammad Adib selaku wira negara.

“Selain itu, bayaran pampasan yang munasabah boleh diberikan kepada pihak keluarga sebagai  penghormatan atas jasa dan pengorbanan Allahyarham yang melaksanakan amanah negara hingga mengorbankan nyawa,” katanya.

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara.

Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast