Tan Sri Mohamad Apandi Ali

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini telah menetapkan 18 April tahun depan sebagai tarikh perbicaraan kes saman Tan Sri Mohamed Apandi Ali selama empat hari berkaitan pemecatan beliau sebagai Peguam Negara (AG).

Pengurusan kes yang diadakan secara atas talian hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar, Nor Shahadah Shaari pada hari ini turut mengarahkan semua pihak untuk memfailkan dokumen serta saksi sebelum pengurusan kes pada 5 November ini.

Pada 13 Oktober tahun lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman terhadap Tun Mahathir dan kerajaan selaku defendan pertama dan kedua atas dakwaan salah guna kuasa.

Mohamad Apandi mendakwa ia telah menyebabkan beliau kehilangan jawatan tertinggi dalam Jabatan Peguam Negara, tiga tahun lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015 menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama menyalahgunakan kedudukannya sehingga mendorong berlakunya pelanggaran kontrak.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa wujud kegagalan berhubung pematuhan terhadap Perkara 145, Perlembagaan Persekutuan, dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai AG adalah tidak mengikut undang-undang, oleh itu ia adalah tidak sah.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Penyataan tuntutan Mohamed Apandi menyebut bahawa melalui surat bertarikh 27 Mei 2015 daripada Ketua Setiausaha Negara, beliau dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap pelantikannya sebagai Peguam Negara yang berkuat kuasa daripada 27 Julai 2015 hingga 26 Julai 2018.

Bekas Peguam negara itu mendakwa, pada 6 April 2018, Ketua Setiausaha Negara memaklumkan beliau bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2018 telah memberi perkenan terhadap pelantikannya yang disambung selama tiga tahun lagi berkuat kuasa pada 27 Julai 2018 dan akan tamat pada 26 Julai 2021.

Mohamed Apandi juga mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei 2018, kemudian mula mengeluarkan kenyataan yang mempertikai integriti profesional beliau.

Walaupun sebelum ini, Mohamad Apandi pernah melahirkan persetujuan kes itu diselesaikan secara baik melalui proses mediasi terhadap Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia.

Namun menurut peguam mewakili Mohamad Apandi, Datuk Abdul Shukor Ahmad, perbicaraan itu tidak dapat dielakkan memandangkan kerajaan enggan menerima mediasi menyelesaikan di luar mahkamah. – MalaysiaGazette