Penulis ketika mengendalikan PDP.

WABAK Covid-19 yang melanda dunia global sekarang ini telah berjaya mengubah
perspektif pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian. Dengan penguatkuasaan sepenuhnya PKP di kebanyakan negara, pendidik di seluruh dunia tidak mempunyai pilihan kecuali melakukan PdP dalam talian untuk memastikan pendidikan berterusan kepada pelajar. Ramai yang mula menyedari bahawa kaedah teknologi ini sebenarnya mempunyai banyak kelebihan berbanding kaedah konvensional, termasuklah mampu menjimatkan kos, memberikan akses yang lebih tinggi kepada pelajar, serta menyediakan pendekatan PdP yang lebih fleksibel.

Pengumuman daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021 nanti telah disambut baik oleh para pelajar serta pensyarah universiti. KPT juga memaklumkan pelaksanaan PdP hibrid di dalam kampus boleh dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran pernah berkata, kualiti PdP boleh dipertingkat melalui kaedah hibrid dan beliau yakin fleksibiliti itu akan membuatkan pelajar berasa seronok dan gembira untuk kembali belajar di kampus, begitu juga pensyarah. Kini, PdP hibrid mula mengambil alih realiti pembelajaran pelajar universiti. Namun sejauh manakah pelaksanaan PdP hibrid ini membantu urusan para pelajar di kampus? Pelaksanaan PdP secara hibrid adalah merujuk kepada pelaksanaan PdP secara bersemuka atau secara dalam talian di peringkat program, kursus atau kuliah mingguan. Di Universiti Pendidikan Sultan Idris, tiga peringkat pelaksanaan PdP hibrid telah digariskan iaitu:

(i) peringkat makro – pelaksanaan program dengan menentukan kursus-kursus yang
perlu dijalankan secara dalam talian sepenuhnya atau kursus-kursus yang perlu
dijalankan secara bersemuka sepenuhnya atau kursus-kursus yang dijalankan
secara pembelajaran teradun,
(ii) peringkat mini – pelaksanaan kursus dengan menentukan topik-topik yang perlu
dijalankan secara dalam talian dan topik-topik yang perlu dijalankan secara
bersemuka, dan
(iii) peringkat mikro – pelaksanaan kuliah mingguan yang mempunyai sebilangan
pelajar belajar secara dalam talian dan sebilangan yang lain dijalankan secara
bersemuka (synchronous).

Pelaksanaan tiga peringkat ini boleh dimanifestasikan melalui pembelajaran
teradun yang merupakan gabungan mod pembelajaran konvensional dan mod
pembelajaran dalam talian. Pembelajaran ini boleh dijalankan secara dalam talian
mengikut format synchronous (segerak) menggunakan bahan pengajaran yang
disampaikan secara interaktif dan masa-nyata atau asynchronous (tidak segerak) di
mana bahan pengajaran dibangunkan lebih awal dan interaksi secara masa-nyata
tidak semestinya berlaku.

Selain itu, penilaian seperti ujian, kuiz dan tugasan boleh dilaksanakan secara
dalam talian dengan menetapkan kriteria seperti tarikh, waktu dan kuantiti
penyelesaian soalan. Dalam masa yang sama, rekod kehadiran pelajar juga boleh
digantikan dengan rekod penglibatan dan pencapaian pelajar melalui penglibatan
aktiviti PdP seperti forum dan penilaian secara dalam talian bagi kursus yang
berkaitan.

Walau bagaimanapun, dalam memastikan penerapan PdP hibrid ini dapat dilaksanakan dengan lancar, pelbagai peringkat pengurusan terutamanya kakitangan akademik (pensyarah), pihak teknologi maklumat (ICT) dan pentadbir di fakulti perlu membuat persediaan yang rapi dalam setiap aspek. Di pihak pensyarah, pelaksanaan aktiviti PdP hibrid harus melibatkan kumpulan pelajar yang hadir secara dalam talian serta kumpulan pelajar yang hadir secara bersemuka. Contohnya melalui penggunaan tools dalam menggantikan papan putih dalam bilik kuliah seperti whiteboard dalam Google Meet atau Powerpoint. Kedua-dua kumpulan pelajar ini mestilah mendapatkan paparan yang sama semasa proses PdP hibrid.

Di pihak ICT, pemasangan kamera atau webcam dalam bilik kuliah juga boleh dilaksanakan. Kamera akan memfokuskan kepada pensyarah dan skrin paparan pada layar akan boleh dilihat oleh kedua-dua kumpulan pelajar sama ada dalam talian dan bersemuka. Di pihak pengurusan fakulti pula, penyediaan peralatan dalam menyokong PdP hibrid perlu diberi keutamaan seperti perisian sidang video, skrin monitor, TV atau projektor, assessment tools, serta virtual collaboration tools. Selain itu, latihan kepada pensyarah dalam menggunakan aplikasi untuk merakam PdP seperti Powerpoint, Discord, Google Classroom, Google Drive, Wakelet, dan Google Meet, juga perlu diberikan perhatian dalam memastikan PdP hibrid berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu, beberapa perkara penting untuk penambahan dalam pelaksanaan PdP hibrid juga boleh diambil kira. Antaranya ialah pensyarah  boleh merakam PdP dan diberikan awal rakaman kepada pelajar. Seterusnya, aktiviti perbicangan dan soal jawab akan berlangsung pada masa kuliah. Aktiviti ini boleh menggunakan medium yang paling kurang penggunaan data internet seperti aplikasi Telegram atau Whatsapp dan lain-lain untuk pembentangan hasil. Oleh hal yang demikian, dalam melaksanakan PdP hibrid ini, pensyarah perlu kreatif dan inovatif dalam merekabentuk sesi pengkuliahan untuk menjadikan ia satu sesi penglibatan aktif para pelajar serta bersikap terbuka terhadap maklum balas daripada pelajar amnya. Selain itu, pensyarah juga tidak perlu khuatir untuk merancang semula PdP serta menggunakan semaksimum mungkin semua peralatan dan teknologi bagi menjayakan aktiviti PdP hibrid.

Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh
Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia,
Fakulti Sains dan Matematik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)