KUANTAN – Seramai 20 lelaki didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membantu kegiatan Along atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen di sekitar daerah ini.

Empat belas tertuduh berusia antara 21 hingga 38 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.

Mereka didakwa memiliki kad perniagaan pinjaman wang tanpa kelulusan dan pelbagai kad mesin juruwang automatik (ATM) pihak ketiga di sebuah rumah inap di Perumahan Galing di sini pada 7 pagi 23 September lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Fatinah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 2 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Sementara itu, Fatinah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan terhadap pekerja kedai makan Nicholas Tee Shen Yi, 23, dan mekanik Tan Tat Theat, 28, selepas mereka mengaku bersalah  atas pertuduhan memiliki 197 keping kad perniagaan dan satu gegantung berkaitan pinjaman wang. yang mereka gagal memberi penjelasan memuaskan mengenai pemilikannya.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Indera Mahkota 21 di sini pada 7.05 pagi hari sama mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari, empat tertuduh berusia antara 25 hingga 44 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membantu Along menawarkan pinjaman yang mengelirukan di sebuah rumah di Taman Sega di sini pada 7.15 pagi hari sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Ainis membenarkan keempat-empat lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 Okt ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aini Adilah Muhammad Faizal, Siti Aisyah Abdul Wahab dan Wan Azreen Wan Zaid manakala semua tertuduh diwakili peguam Badrulzaman Abu Bakar dan Datuk Zaharman Zainal Abidin. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast