Ali Puteh menyiram air dipusara jenazah ibunya, Allahyarhamah Sabariah Arshad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2021.

GOMBAK – Jenazah ibu kepada pelawak popular, Allahyarham Abam Bocey dan Ali Puteh iaitu Sabariah Arshad, 64, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu di sini kira-kira pukul 12 tengahari ini.

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid Gombak Utara (Zakaria) pukul 9 pagi untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.

Lebih 50 orang hadir di masjid berkenaan untuk memberikan penghormatan terakhir termasuk ahli dan rakan rapat.

Sabariah menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma dan komplikasi pelbagai penyakit di Hospital Selayang di sini, pukul 11.54 malam tadi.

Ahli keluarga terdekat tidak dapat menahan kesedihan ke atas pemergian jenazah ibu kepada pelawak popular, Allahyarham Abam Bocey dan juga Ali Puteh iaitu Allahyarhamah Sabariah Arshad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2021.

Pada Disember tahun lalu, arwah pernah dimasukkan ke Hospital Selayang kerana serangan asma hingga terpaksa ditidurkan dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

Arwah meninggalkan empat orang anak.

Sementara itu, Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, dipercayai akibat demam panas pada 10 Februari 2020. – MalaysiaGazette