BERTEMAKAN 'Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan', Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada 27 September lalu. Rancangan ini bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang negara.

Terdapat tiga tema utama RMK-12 iaitu berkaitan menjana semula ekonomi, Memperkukuh Keselamatan, Kesejahteraan, dan Inklusiviti dan melonjakkan kemampuan. Sebagaimana menurut dokumen RMK-12 yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU), pertumbuhan ekonomi mampan mampu merealisasikan pengagihan ekonomi secara lebih adil, saksama serta inklusif.

Tidak terkecuali, ia dikatakan mampu menyediakan taraf hidup yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kumpulan pendapatan, etnik serta wilayah. RMK-12 ini juga merangkumi strategi dan inisiatif bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara. Tentunya ini adalah amat penting bagi memastikan pembangunan sosioekonomi yang mampan.
Tema tersebut turut disokong dan diperkukuhkan oleh empat pemangkin dasar, iaitu – membangunkan bakat masa hadapan; mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi; menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan; serta
memperkukuh perkhidmatan awam.

“Pelbagai pembaharuan yang dibawa dalam RMK-12 akan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik pada tahun 2025,” kata Ismail Sabri membentangkan rancangan tersebut.

Bukan alasan untuk tidak melaksanakannya

Menyoroti RMK-11 lalu, dapat dilihat bagaimana tidak semua perkara yang dirancang oleh kerajaan terdahulu dapat direalisasikan. Walaupun kerajaan memiliki pelbagai sumber dan kuasa, tidak semua perkara yang dirancang boleh dilaksanakan atau disempurnakan kerana sifat dasar awam yang terdedah
kepada pelbagai pembolehubah, terutama berkaitan kewangan.
Akan tetapi, itu bukanlah indikator atau alasan untuk kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri ini tidak melaksanakan apa yang dirancangkan dalam RMK-12 ini.

Jangan ia sekadar ‘gula-gula’ atau retorik saja

“Agak mudah untuk merancang, tetapi tidak mudah dilaksanakan,” memetik kata-kata Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi perbahasan RMK-12 hari ini.
RM punya naratifnya tersendiri. Bermula pada tahun 1965, Rancangan Malaysia (RM) telah dibentangkan setiap lima tahun
dan mempunyai naratifnya tersendiri. Boleh jadi, ada dalam kalangan kita yang mengambil kisah tentangnya atau sebaliknya.
Melalui RM ini juga, ia mampu memberikan sedikit harapan kepada banyak pihak dan pada masa sama ia juga berpotensi membuatkan kita bersikap anjal sesuai dengan ketidaktentuan yang berlaku.

RMK-12 dan Belanjawan 2022 nanti tentulah bukan ‘penawar’ yang boleh menyelesaikan semua permasalahan yang ada. Namun, ia adalah sebagai momentum perubahan ke arah
yang lebih baik, jika itu yang disasarkan oleh kerajaan kini.
RMK-12 dan Belanjawan 2022 adalah kesempatan terbaik untuk kerajaan ini melakarkan pembaikan serta mengembalikan semula kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan ini.
“Fokus dalam merancakkan ekonomi akan tertumpu kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu,” kata Perdana Menteri itu lagi.

Menurut beliau lagi, kerajaan mahu melihat sektor swasta kembali memainkan peranan lebih besar bagi membantu negara memacu pertumbuhan ekonomi. “Sehubungan ini, saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengurangkan karenah birokrasi, menyediakan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya harap, memperkukuh ekosistem bagi menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir," katanya.

Tumpu perkara biasa?

Perdana Menteri berkata, dalam tempoh lima tahun 2021-2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun. Terdahulu dalam status Facebook, Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyifatkan RMK-12 sebagai tidak mempunyai asas yang kukuh, sebaliknya hanya menumpukan kepada perkara biasa yang sudah boleh dijangka.

Beliau turut mengakui terkejut dengan intipati RMK-12 yang pada sangkaannya akan memberi tumpuan kepada aspek pemulihan negara dalam semua aspek. Benarkah demikian? Ayuh kita lihat, adakah RMK-12 ini bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia? Kerana jika dilihat, RMK-12 ini dijangka memberi keutamaan kepada aspek kebajikan, perlindungan sosial dan projek-projek berpaksikan rakyat yang menjadi keutamaan berbanding projek
mega baharu.

Ringkasan Intipati Utama RMK-12
1. Matlamat RMK-12
– Pertumbuhan KDNK 4.5 peratus – 5.5 peratus setahun
– Purata pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan pada 2025
– Jurang KDNK per kapita pada 2025 berbanding Wilayah Tengah
● Sabah dikurangkan 1: 2: 5
● Sarawak dikurangkan 1: 1: 2

– Pengurangan intensiti Pelepasan Green House Gas 45 peratus kepada KDNK
tahun 2030
2. Fokus-Fokus Utama RMK-12
– Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi
– Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan
– Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia
– Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraan Awam
– Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan
– Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia
– Melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun
– Mempercepat Pertumbuhan Hijau
– Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar Yang Berkesan

Bukan sekadar di atas kertas

Tentunya harapan kita semua, ia bukan sekadar rancangan di atas kertas, tetapi pihak kerajaan berusaha menjadikan ia sebagai realiti setelah hampir dua tahun negara dilanda
pandemik dan rakyat berusaha bangkit membaik pulih lompong-lompong yang ada. Dalam pada itu, seharusnya Perdana Menteri membatalkan agenda membaik pulih Kompleks Seri Perdana itu. Sebagaimana kata Pengerusi Pertubuhan Ilmuwan Dan
Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN), Dr Syazalie Hirman dalam satu hantarannya: "Saya amat yakin sesiapa pun yang benar-benar beriman dengan agama suci ini tidak akan
pernah meredai perkara seperti ini.”

Tambahnya lagi, rakyat biasa hendak beli rumah tidak sampai setengah juta ringgit pun tidak mampu, ini naik taraf kediaman saja pun sampai RM30 juta. Di mana keprihatinan yang dicanangkan dengan slogan KELUARGA MALAYSIA itu wahai
Perdana Menteri? Masih ramai lagi rakyat negara ini sangat susah, hidup mereka tidak menentu. Terbaru kerajaan mengesahkan bahawa kos naik taraf tersebut sebenarnya lebih lagi, RM38.5 juta!! Angka ini bukan sedikit. Berapa ramai lagi rakyatmu yang lapar setiap hari, sudahkah dikira jumlahnya? Lebih setengah juta golongan M40 sudah jadi B40, kadar pengangguran pula meningkat, sudah tuntaskah langkah-langkah pembelaannya?
Prihatinlah.

Atriza Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia