Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Ketua Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd Tahir kembali menyertai UMNO tidak menjejaskan Bersatu Bahagian Putrajaya.

Setiusaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini kerana beliau telah pun meletakkan jawatannya dan keluar parti itu pada 10 Oktober 2020.

“Tindakan beliau setelah tewas dalam pemilihan Bersatu di mana beliau bertanding sebagai Naib Presiden Bersatu.

“(Bagaimanapun) akar umbi dan kepimpinan Bersatu Bahagian Putrajaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan utuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Erwan mengumumkan keluar daripada parti itu serta-merta dan kembali menyertai UMNO.

Keputusan itu dibuat kerana Erwan yakin hanya UMNO dapat memartabat dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, Perlembagaan serta Raja-Raja Melayu.

Hamzah juga berkata, kekosongan jawatan itu akan dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian Putrajaya, Fathul Azam Hashim melalui penubuhan cawangan dan pendaftaran keahlian Bersatu baharu.

“Bersatu menegaskan bahawa kepimpinan dan akar umbi Bersatu di semua peringkat sentiasa cekal dan istiqamah menghayati perjuangan parti.

“(Malah) Bersatu tidak berlandaskan hanya kepada sokongan terhadap seseorang individu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dr. Erwan kembali semula sertai UMNO