Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilantik sebagai Pengerusi FELCRA Berhad oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob.

Beliau yang sebelum ini meletakkan jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menerima watikah pelantikan itu di Pejabat Perdana Menteri dua hari lalu.

Pelantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu dikongsi Ahli Parlimen Pangerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang pada hari sama turut menerima watikah pelantikan sebagai Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri, berkuatkuasa Khamis lalu.

Ahmad Jazlan bagaimanapun gagal dihubungi Malaysia Gazette untuk mendapatkan pengesahan.

Sebaliknya, pegawai khas beliau memaklumkan Ketua UMNO Bahagian Machang itu mempunyai jadual yang padat dalam program bersama rakyat di kawasannya, hari ini.

Ahmad Jazlan memegang jawatan Pengerusi MPOB di bawah kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 April tahun lalu, menggantikan Mohd Bakke Salleh yang berkhidmat sehingga 31 Mac 2020.

Namun, beliau meletak jawatan pada Januari lalu sebagai bantahan terhadap kegagalan pentadbiran Muhyiddin membubarkan Parlimen. – MalaysiaGazette