Kanak-kanak sedang mengikuti pendidikan di sebuah sekolah di Kandahar, Afghanistan. foto Global Partnership for Education. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sedang berusaha membantu Nahel Afghan Community Center supaya pembelajaran kanak-kanak Afghanistan boleh berjalan dengan sempurna.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kanak-kanak Afghanistan perlu disantuni dan perlu pendedahan pendidikan asas agar kehdairan mereka dapat dimanfaatkan untuk sementara waktu di negara ini.

“Mapim akan mengambil inisiatif membantu pendidikan kanak-kanak pelarian Afghanistan di Malaysia.

“Kami berpendapat masa depan mereka hanya terjamin jika mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

“Keadaan kanak-kanak pelarian yang berada di Malaysia sangat memerlukan peluang untuk mendapat pendidikan,” katanya menerusi kenyataan media.

Selain turut memberikan bantuan makanan katanya, Mapim bercadang untuk mendapatkan sumbangan orang ramai bagi membeli peralatan di pusat berkenaan agar sempurna.

Sumbangan tersebut juga katanya, akan digunakan untuk membayar gaji tenaga berserta elaun yang asas.

“Kami bercadang untuk melihat perjalanan pusat ini benar-benar membantu komuniti Afghanistan bukan sahaja dari segi pendidikan kanak-kanak mereka malah juga menyantuni aspek kesihatan.

“Kami mengambil perhatian berat masa depan mereka kerana keadaan di Afghanistan masih tidak kondusif untuk dihantar pulang,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam perbincangan yang diadakan, komuniti pelarian Afghanistan di Malaysia masih memerlukan bantuan sebelum mereka boleh pulang ke negara mereka.

Isu kemiskinan dan keamanan terus menjadi kekangan untuk masa depan kanak-kanak Afghan pulang ke negara asal mereka, katanya.

Jelasnya, Mapim berpendapat setiap kanak-kanak pelarian Afghanistan di Malaysia berpotensi menjadi manusia yang bermanfaat dan boleh berinteraksi dengan masyarakat tempatan jika mereka diberi pendidikan yang baik.

“Kami mengharapkan kerajaan Malaysia mempertimbangkan kanak kanak pelarian di negara ini mendapat pendidikan seperti kanak-kanak tempatan seperti tercatat dalam hak asasi manusia antarabangsa dan moto Pendidikan Untuk Semua.

“Sesungguhnya kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan akan membawa kepada implikasi sosial di negara ini. Oleh itu suatu polisi mengenai pendidikan kanak-kanak pelarian perlu dirangka oleh kerajaan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette