Datuk Seri Mazlan (tengah) ketika menghadiri majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti bentuk bantuan kebajikan yang sesuai bagi meringankan beban pegawai dan anggotanya yang memiliki hutang yang tinggi.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, inisiatif bantuan itu bagaimanapun masih lagi dalam peringkat kajian.
Langkah membantu pegawai dan anggota itu akan melibatkan mereka yang masih bertugas atau sudah bersara, ujarnya.
“Bentuk kebajikan ini melibatkan dua iaitu pesara polis dan anggota asnaf (masih bertugas), kebiasaan anggota asnaf ini adalah mereka yang terlibat dalam keberhutangan yang tinggi.
“Sebagai contoh, anak nak pergi belajar dia pergi berhutang atau pun berlaku perkara musibah dia berhutang.
“Mereka yang betul-betul layak sahaja akan dibantu, kalau melibatkan hutang tidak sepatutnya kita tidak bolehlah bantu,” katanya selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Menurut Mazlan bantuan itu akan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan anggota dan pegawai yang berhutang tidak terjebak dengan perkara tidak diingini.

“Selalunya anggota asnaf ini mempunyai gaji yang kecil dan mempunyai hutang yang tinggi.

“Perkara ini kita perlu  perhalusi betul-betul sebab apa dia berhutang, jika membeli kereta besar sememangnya tidak layak itu dibantu,” katanya. – MalaysiaGazette