Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang remaja berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dituduh terlibat mengedar dadah pada 23 September lalu.
JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang remaja berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dituduh terlibat mengedar dadah pada 23 September lalu.

Tertuduh, C. Harethaess, 27, yang bertugas di Balai Polis Labu, Negeri Sembilan dan P. Darshan, 19, yang bekerja sebagai pemandu sambilan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Suhaila Shafi’uddin.

Namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama telah mengedar dadah jenis ekstasi seberat 181.95 gram.

Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dituduh terlibat mengedar dadah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah pusat penjagaan kesihatan di Kota Southkey di sini pada pukul 9.45 malam pada 23 September lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit bersalah,  mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim.

Darshan diwakili barisan peguam, Muhammad Firdaus Adnan, Muhamad Wafiq Hadie dan Amer Ashrhaf Azuddin manakala Harethaess tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 5 Disember untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia manakala kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.- MalaysiaGazette