Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar
Noh Omar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KPUK) akan mengambil tindakan tegas ke atas pegawainya yang sengala melengahkan dan menyusahkan usahawan dalam mendapatkan bantuan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berikrar, dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahan kerajaan Keluarga Malaysia, hampir 179,000 usahawan seluruh negara akan dibantu mendapatkan pinjaman sebagai modal perniagaan.

“Saya sasarkan dalam tempoh 100 hari ini, kementerian saya hendak menolong hampir 179,000 usahawan. Inilah antara pemantauan yang akan dibuat oleh KPUK dan saya minta ahli-ahli Parlimen, jika ada rungutan daripada rakyat bahawa agensi di kementerian saya lambat dan macam-macam kerenah, tolong lapor kepada saya.

“Saya janji tindakan akan diambil ke atas mana-mana pegawai yang melengah-lengahkan atau menyusahkan rakyat untuk mendapatkan bantuan,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, KPUK mempunyai dasar perbelanjaan khusus dalam tempoh jangka panjang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui beberapa agensi di bawah kementeriannya.

Antaranya, kata Noh, SME Bank menawarkan pembiayaan kepada PKS dengan nilai RM500,000, Bank Rakyat RM1 juta dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dengan nilai minimum RM100,000 dan maksimum RM10 juta.

Pada masa sama, katanya, KPUK juga akan terus memperkasakan program keupayaan dan pembangunan kapasiti serta latihan untuk usahawan dalam meningkat dan mengadakan teknologi serta digitalisasi dalam operasi perniagaan.

“Selain itu, kementerian saya juga ada menyediakan kursus latihan untuk menjadi usahawan, bukan untuk makan gaji khususnya kepada belia dan siswazah.

“Dasar Keusahawanan Nasional pula telah menggariskan sasaran jangkamasa sederhana dan panjang untuk memastikan pencapaian ekspresi Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan menjelang 2030.

“Sasaraan yang ditetapkan adalah sumbangan PKS kepada KDNK daripada 37.4 peratus pada 2018 kepada 45 peratus pada 2025 dan 50 peratus menjelang 2030,” ujarnya. – MalaysiaGazette