Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menetapkan projek pembangunan semula atau menaiktaraf bangunan sekolah daif dibuat berdasarkan analisis skor gred impak.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md. Jidin berkata, menerusi analisis skor gred itu akan menentukan tahap keadaan komponen fizikal atau fasiliti bangunan di sekolah.

Kata beliau, skor itu pula mempunyai tujuh skala, yang mana skala 1 hingga 4 merujuk kepada keadaan bangunan masih berfungsi dan selamat digunakan, manakala skala 5 adalah bangunan yang dilaporkan pihak sekolah sebagai tidak selamat dan memerlukan penyelenggaraan.

“Bagi skala 6 pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Sementara skala 7 merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen, hari ini.

Beliau memberitahu, keutamaan kementeriannya adalah kepada bangunan yang berada pada skala 6 dan skala 7 untuk dibaik pulih, dinaik taraf atau dibina bangunan gantian mengikut keperluan.

Katanya, sepanjang RMK-11 dan RMK-12, RP 1 tahun 2021, sejumlah RM4.397 bilion telah diluluskan untuk menaik taraf dan membangunkan semula 879 sekolah yang mempunyai bangunan daif di seluruh negara.

Mengenai pelaksanaan projek naik taraf dan membangun semula sekolah yang mempunyai bangunan daif di Sarawak, Mohd Radzi berkata, dalam RMK-11 (2016-2020) sebanyak 293 projek menaik taraf dan membangun semula sekolah yang mempunyai bangunan daif dengan kos RM1.765 bilion telah diluluskan kepada kementeriannya.

Kata beliau, dalam RMK-12, RP1 tahun 2021, sebanyak 59 projek dengan kos berjumlah RM402.71 juta telah diluluskan.

Berhubung projek penggantian penuh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuang di Kota Samarahan, kata beliau, projek itu dalam peringkat penyediaan dokumen tender dan akan ditender awal tahun 2022.

“Bagi Sabah, sebanyak 239 projek telah diluluskan dengan kos RM1.234 bilion dalam RMK-11, manakala dalam RMK-12 RP1 tahun 2021, KPM telah diluluskan sebanyak 30 projek dengan kos RM500.03 juta.

“Kos bagi menaiktaraf dan membangun semula sekolah yang mempunyai bangunan daif adalah berbeza bergantung kepada kompleksiti skop, ketersediaan tapak dan juga lokasi sesebuah sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette