Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan menyatakan dirinya tidak ada masalah dengan pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Speaker Sementara.

Beliau berkata, pelantikan Ahli Parlimen Pengerang sebagai Penasihat Undang-Undang kepada Perdana Menteri bukan bertaraf menteri itu tidak mempunyai konflik kepentingan.

Sehubungan itu, Azhar Azizan meminta semua Ahli Dewan Rakyat agar tidak terlalu memikirkan mengenai keberadaan Azalina di kerusi speaker untuk mempengerusikan persidangan.

“Saya telah dimaklumkan oleh Pengerang (Azalina) bahawa pelantikan beliau bukanlah berstatus menteri, jadi beliau bukanlah menjadi sebahagian daripada pihak pentadbitan atau eksekutif.

“Beliau hanyalah seorang penasihat yang akan menasihati Perdana Menteri bukan kerajaan Malaysia mengikut pendapat, pengetahuan dan kebijaksanaannya.

“Oleh kerana Pengerang bukan seorang ahli eksekutif, saya tidak nampak apa-apa masalah dalam permintaan saya untuk beliau mempengerusikan apa-apa persidangan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Parlimen petang ini.

Beliau memberi penjelasan itu apabila Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai (PH) bangun membaca peraturan mesyuarat Perkara 7(3) berhubung pelantikan Azalina untuk mempengerusikan sesi penggulungan Menteri pagi tadi.

Hon Wai berkata, pada pukul 2.30 petang tadi, beliau bersama Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah membangkitkan isu mengenai Pengerang duduk di kerusi Speaker untuk mempengerusikan mesyuarat.

Katanya, Perkara 7(3) menyatakan Speaker boleh meminta seseorang ahli mempengerusi mesyuarat, tetapi Speaker tidak boleh meminta seorang menteri untuk mempengerusikan mesyuarat atau seorang pengerusi GLC.

Menurut Azhar, walaupun seseorang itu bukan merupakan ahli pentadbiran sepertinya tetapi apabila bercakap mengenai konflik kepentingan, dinamiknya adalah berterusan.

“Jadi, sepanjang mempengerusikan apa-apa persidangan sekiranya beliau (Azalina) tidak perlu membuat apa-apa ketetapan mengenai perkara yang dinasihatinya, beliau tidak mempunyai apa-apa konflik kepentingan.

“Ini sama seperti saya. Ramai kata saya ada konflik kepentingan Peguam Negara iaitu abang saya, sekiranya perkara itu dibincangkan, saya boleh mempengerusikannya tetapi kalau saya nak buat ketetapan, saya akan mengecualikan diri saya.

“Sama juga dengan Pengerang, sekiranya ada apa-apa ketetapan yang hendak dibuat oleh beliau maka sudah pasti beliau akan mengecualikan dirinya,” katanya. – MalaysiaGazette