Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Jumlah kes kematian Orang Kena Tuduh (OKT) dalam lokap tidak seperti digembar-gemburkan Ahli Parlimen kepada rakyat, yang dengan sengaja memasukkan unsur perkauman.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, statistik kes kematian dalam lokap hanya 0.01 peratus setahun.

Katanya, sepanjang tahun ini sehingga 30 September lalu, prestasi terkini Program Komuniti Polising merekodkan 10 kes kematian dalam lokap polis.

Daripada jumlah itu, empat kematian melibatkan lelaki Melayu iaitu dua di Perak dan masing-masing satu di Pahang serta Pulau Pinang.

“Manakala satu kematian pula melibatkan perempuan Melayu di Johor, dua kematian melibatkan lelaki Cina iaitu masing-masing satu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur

“Kematian melibatkan dua lelaki India pula masing-masing dilaporkan di Melaka dan Selangor, manakala satu kematian melibatkan warganegara asing yang dilaporkan di Sabah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 di Parlimen, hari ini.

Menurut Hamzah, sehingga kini mahkamah telah memerintahkan satu kes dalam prosiding inkues dan sembilan kes lagi masih dalam siasatan.

Kata beliau, berdasarkan statistik sedia ada, tidak ada sebarang diskriminasi terhadap mana-mana kaum semasa OKT berada dalam tahanan polis.

“Peratusan kematian dalam lokap adalah sangat kecil. Statistik kematian mengikut tahun adalah 2016 yang daftar di lokap seramai 113,111 orang, manakala kematian dalam lokap ialah 11 orang iaitu lima Melayu, satu Cina, tiga India dan satu lain-lain bangsa serta satu warga asing. Peratusannya hanya 0.011 peratus.

“Tahun 2017 pula seramai 92,462 yang daftar di lokap dan kematian dalam lokap hanya 14 orang iaitu lima Melayu, tiga Cina, empat India dan dua warga asing dengan peratusan 0.015 peratus.

“Bagi tempoh 2018, seramai 91,354 daftar di lokap dengan 10 kematian iaitu enam Melayu, dia India dan dua warga asing, begitu juga tahun 2019, seramai 94,113 daftar di lokap, sembilan orang mati, enam Melayu, seorang India dan dua warga asing,” katanya.

Beliau turut menjelaskan dalam tahun 2020, seramai 91,246 daftar di lokap, 13 kematian dilaporkan iaitu enam Melayu, empat Cina, dua India dan seorang warga asing.

Hamzah menasihat dan mengingatkan Ahli Parlimen terutama pembangkang, cukup-cukuplah menjadi kes kematian dalam lokap sebagai isu perkauman, yang mencetuskan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

“Saya nak jelaskan ini supaya tidak lagi dijadikan isu perkauman. Saya nak jelas, sejelas jelasnya supaya semua tahu, terutama Ahli Parlimen yang sama membangkitkan perkara ini sedar dan jelas.

“Jadi, tak timbullah diskriminasi kaum dan jangan dibesar-besarkan isu perkauman,” katanya. – MalaysiaGazette