Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan telah mengambil seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara terus (one-off) bagi mengisi kekosongan guru di sekolah.

Menteri Kanan, Senator Datuk Radzi Md. Jidin berkata, urusan pengambilan khas PPP itu di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku pihak berkuasa melantik.

Kata beliau, pengambilan itu bermula 7 Julai lalu dan ketika ini SPP sedang melaksanakan temuduga secara berfasa mulai 8 September lalu sehingga 12 November ini.

“Proses pengambilan ini dijangka selesai pada Disember. Berdasarkan data sehingga 19 September lalu terdapat 21,564 kekosongan guru di sekolah Kementerian Pendidikan seluruh negara.

“Dengan mengambil kira pengambilan one-off ini, baki kekosongan 2,862 akan diisi melalui proses lantikan biasa secara berterusan oleh SPP.

“Kita yakin dengan pengambilan one-off ini perkara berkaitan kekurangan guru yang telah berlanjutan bertahun lamanya akan dapat diselesaikan,” katanya di Parlimen hari ini.

Belilau berkata, jika bilangan calon yang berjaya dilantik dalam kalangan graduan mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan belum mencukupi, SPP akan melaksanakan kaedah lantikan secara kontrak. – MalaysiaGazette