Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memastikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilaksanakan mengikut jadual dan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat secepat mungkin.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, komitmen itu dibuktikan apabila sehingga 31 Ogos lalu, pembinaan keseluruhan projek berkenaan telah mencapai kemajuan sebenar sebanyak 23.96 peratus.

Katanya, hanya 1.04 peratus kelewatan dari jadual sebenar yang berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, bagi Seksyen A iaitu dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu, skim keretapi telah diluluskan pada 14 Mei 2020 merangkumi pembinaan enam stesen iaitu Kota Bharu, Pasir Putih, Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun.

Kelulusan itu, katanya, bertepatan dengan program kerja penyediaan tapak yang telah dilaksanakan bermula pertengahan tahun 2020.

“Sehingga 31 Ogos lalu, kemajuan kerja fizikal telah mencapai 11.59 peratus berbanding jadual sebanyak 12.01 peratus. Kerja fizikal juga sedang giat dilaksanakan di Seksyen B iaitu jajaran dari Dungun ke Temerloh.

“Sejak disambung semula pada Julai 2019, kemajuan kerja fizikal di seksyen ini telah mencapai 28.04 peratus berbanding jadual sebanyak 26.90 peratus merangkumi kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

“Kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir juga giat dijalankan,” katanya.

Menurut Ka Siong, bagi Seksyen C iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang, kerajaan mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan ECRL memberi impak ekonomi yang maksimum kepada rakyat seperti diumumkan pada 5 April lalu.

Katanya, penting ECRL dipastikan tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan termasuk kelebihan logistik yang akan dicapai tanpa mengurangkan kualiti perkhidmatan penumpang, menjadikan ECRL sebagai pemangkin ekonomi.

Dalam hal ini, cadangan penjajaran balik kepada jajaran utara asal iaitu Temerloh-Gombak-Serendah dan dilanjutkan ke Pelabuhan Klang telah dipertimbangkan Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 dan Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara 13 Ogos 2020 serta diluluskan secara prinsip 21 Ogos 2020 dan 2 September 2020.

Susulan kelulusan itu, Kementerian Pengangkutan mengadakan lebih 37 sesi libat urus melibatkan 17 jabatan dan agensi kerajaan Selangor serta 12 jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan.

Ini, menurut beliau, bertujuan memperkemaskan cadangan penyelesaian teknikal untuk mengatasi isu sosial dan alam sekitar seperti Permatang Kuarza dan Empangan Batu sepertimana yang diuar-uarkan.

Kata Ka Siong lagi, apabila jajaran ECRL dikembalikan ke jajaran asal, semua perkara itu telah diambil kira dan jajaran utara pula sekali lagi diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada 31 Mac 2021 dan diluluskan pada hari sama.

“Pada masa ini, kementerian saya menjangkakan tarikh penyiapan bagi Seksyen A, B masih kekal sepertimana dijadualkan iaitu pada 31 Disember 2026.

“Bagaimanapun, penyiapan Seksyen C dijangka mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Disember 2027,” katanya. – MalaysiaGazette