Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti keperluan bagi mewujudkan mekanisme kawal selia terhadap salah satu segmen industri pelancongan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kawal selia itu bukan sahaja boleh memastikan kualiti perkhidmatan premis penginapan yang baik, malah turut dijadikan kerjasama antara kementerian dan pemegang taruh bagi terus meningkatkan industri berkenaan ke tahap lebih baik.

“Penelitian ini antara lain sudah pasti turut melihat isu mengenai kadar komisen yang dikenakan oleh setiap syarikat Online Travel Agent (OTA) kepada premis penginapan pelancong.

“Namun, kita perlu objektif dalam menimbang perkara ini kerana pelbagai faktor perlu diambil kira dalam memutuskan suatu dasar seperti konsep pasaran, menyokong pembangunan digitalisasi serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi membolehkan sesebuah syarikat berminat untuk terus beroperasi di Malaysia,” katanya kepada Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, penelitian itu bukan hanya menyentuh bidang kuasa kementeriannya semata-mata, malah boleh merentasi bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. – MalaysiaGazette