Dion-Johan Cools.

KUALA LUMPUR – Pemain berdarah kacukan Malaysia, Dion Cools mengakui dia masih belum cergas sepenuhnya untuk menyahut seruan Harimau Malaya dan memerlukan cuti dua minggu sempena aksi antarabangsa sebagai proses pemulihan.

Menerusi Instagram miliknya, Cools memberitahu dapat mewakili skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa sentiasa menjadi detik yang membanggakan dalam kariernya selain serius untuk terus tampil menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang.

“Saya sangat teruja apabila dapat menyarung jersi Malaysia dan ia adalah satu kebanggaan buat saya secara peribadi. Namun, saya perlu jelaskan mengenai ketiadaan saya pada kem skuad kebangsaan kali ini.

“Secara jujur, saya masih mengalami kecederaan serius dan masih belum berada pada tahap 100 peratus. Justeru, kelab telah bersetuju untuk memberi cuti rehat antarabangsa selama dua minggu bagi proses pemulihan.

“Justeru, keputusan itu me­nyaksikan saya tidak dapat mewakili skuad kebangsaan pada dua perlawanan antarabangsa akan datang dan saya harap penyokong bola sepak negara memahami keputusan saya,” katanya dalam satu hantaran.

Sebagai rekod, pemain pertahanan berusia 26 tahun itu telah berada dalam senarai 24 pemain kebangsaan yang akan mengharungi aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman, Jordan minggu ini.

Namun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggugurkan nama Cools selepas dilaporkan masih mengalami kecederaan dan hanya membawa 22 pemain untuk dua perlawanan persahabatan nanti.

Sebelum ini, FAM telah dikritik hebat susulan keputusan untuk menggugurkan khidmat Cools meskipun dia masih lagi diletakkan dalam bangku simpanan kelab yang diwakilinya, FC Midtjylland kelmarin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast