Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun terpaksa meninggikan suara meminta Ahli Parlimen dari blok pembangkang tidak mengganggu penggulungan Menteri berhubung dasar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Beliau menggunakan tukul untuk mengetuk meja, termasuk mengherdik beberapa Ahli Parlimen yang masih bising di tempat masing-masing meminta Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi ruang mereka bertanyakan soalan.

Antara Ahli Parlimen yang membuat bising ialah Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan), Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) dan P. Prabakaran (PH-Batu).

Mereka dari awal lagi tidak diberi laluan oleh Hamzah yang mahu menghabiskan masa ditetapkan selama 30 minit untuk menggulung dan menjawab persoalan daripada perbahasan Ahli-ahli Parlimen.

Sebaik masa penggulungan Hamzah habis, ketiga-tiga Ahli Parlimen pembangkang itu membuat bising sehingga Azhar Azizan mengarahkan mereka duduk untuk memberi laluan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menggulung perbahasan RMK-12.

Katanya, melayan karenah Ahli Parlimen pembangkang menyebabkan Parlimen tidak mempunyai masa mencukupi untuk penggulungan terakhir malam ini, yang akan ditamatkan jam 8.30 malam.

“Ini penggulungan Menteri, bukan perbahasan. Saya sudah berikan peluang untuk YB-YB bertanya ketika perbahasan dan walaupun tidak sepatutnya diberikan ketika penggulungan, saya tetap berikan.

“Sekarang masa ada 20 minit.. 10 minit hilang dan Timbalan Menteri (Rosol) akan gulung selama 20 minit,” katanya.

Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan Hamzah yang menasihatkan mereka supaya tidak menjadikan kes kematian Orang Kena Tuduh (OKT) dalam lokap sebagai isu perkauman. – MalaysiaGazette