Sindiket pelaburan tak wujud dan judi dalam talian yang aktif di Jalan Bukit Bintang hampir sebulan lalu telah ditumpaskan polis semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket yang terlibat dalam kegiatan jenayah pelaburan tidak wujud dan perjudian dalam talian di ibu negara dalam serbuan semalam

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, bertindak atas maklumat pihaknya bersama Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, dan JSJK Kontinjen Kuala Lumpur melakukan serbuan ke sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, di sini.

“Hasil dari serbuan ini, Polis Dang Wangi telah menahan empat individu warganegara asing terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan.

“Kesemua suspek berusia antara 21 tahun sehingga 30 tahun yang dipercayai terlibat dengan kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dalam serbuan itu pihaknya merampas rampas lima unit telefon bimbit, lapan komputer riba, lima set tablet, sebuah modem, satu router, satu set komputer, serangkai kunci dan wang tunai RM125.

Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi selama hampir sebulan dalam aktiviti menawarkan pelaburan tidak wujud bagi menipu mangsa dan judi dalam talian.

“Kesemua suspek termasuk perempuan itu telah ditahan reman selama empat hari bagi tujuan siasatan lanjut,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menyalurkannya ke IPD Dang Wangi di talian 03-26002222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast