Maria Chin Abdullah
Maria Chin Abdullah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis untuk menyiasat kes kematian tahanan dalam lokap serta penyalahgunaan anggota dan pegawai polis.

Desakan itu dinyatakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dalam sidang medianya tengah hari ini, selepas tidak diberi peluang mencelah pada sesi penggulungan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin malam tadi.

Menurut Maria, ketika Hamzah memberitahu dewan, kes kematian Orang Kena Tuduh (OKT) dalam lokap polis adalah kecil dengan 0.01 peratus, kenyataan itu menggambarkan menteri berkenaan tidak mempunyai rasa simpati terhadap nyawa manusia yang telah hilang.

“Memang benar angka 0.011 dan 0.015 itu kecil berbanding jumlah kematian antara sembilan hingga 10 orang setahun, tetapi bagi kami, satu nyawa itu sudah cukup mahal dan perlu dijaga.

“Satu kematian dalam tahanan pun sudah terlalu banyak. Kematian dalam tahanan bukan angka, tetapi seorang manusia yang bernyawa, tetapi meninggal dunia dalam kawalan dan jagaan polis,” katanya.

Malam tadi, Hamzah mendedahkan jumlah kes kematian OKT dalam lokap polis di seluruh negara dari tahun 2016 sekitar 0.011 hingga 0.015 peratus sehingga tahun ini.

Maria juga menepis dakwaan menteri kononnya pembangkang sengaja menjadikan kes itu isu perlauman

Kata beliau, kematian dalam tahanan sememangnya bukan isu perkauman, tetapi ia mengenai seorang insan yang meninggal dunia semasa dalam tahanan dan jagaan pihak berkuasa di tempat sepatutnya mempunyai perlindungan mutlak iaitu di balai yang berada dalam kawalan polis.

“Ini isu keadilan, integriti dan kebertanggungjawaban anggota pasukan keselamatan,” katanya yang turut disertai beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette