Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan menjadi negara pengeluar vaksin manusia dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Beliau berkata, serentak itu juga, pelan hala tuju pembangunan vaksin negara akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Katanya, pelan halan tuju itu dikoordinasikan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak merangkumi badan kerajaan, industri, para akademik dan masyarakat.

“Kementerian saya mengambil tindakan proaktif yang berterusan dengan menyasarkan tiga indikator utama yang amat bertepatan dengan usaha pemulihan negara.

“Hal ini khususnya untuk menjana semula ekonomi negara pasca pandemik Covid-19 iaitu menerusi pembangunan ekosistem industri pemula yang komprehensif dan penginovasian sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui aplikasi teknologi.

“Sudah tentu yang paling dititiberatkan MOSTI ialah amanat kerajaan untuk membangunkan keupayaan menghasilkan vaksin tempatan,” katanya dalam sesi menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen petang ini.

Mengenai kemampuan Malaysia dalam menghasilkan vaksin tempatan, beliau berkata, sudah tentu kerajaan perlu memastikan vaksin berkenaan selamat, berkualiti dan berkesan.

Oleh demikian, kata Dr. Adham, amanat baru kepada MOSTI adalah untuk meningkatkan keupayaan menghasilkan vaksin tempatan, yang merupakan suatu yang amat perlu pada masa ini.

Beliau menjelaskan, sebagai permulaan, sebuah pusat vaksin negara akan ditubuhkan iaitu Institut Genom dan Vaksin Malaysia.

“Kita akan segerakan kerana kita sedar adalah sukar Malaysia untuk terus bergantung dan mendapatkan vaksin daripada negara maju.

“Oleh itu, kepakaran dalam negara telah dikenal pasti dan sedang disusun bagi memastikan strategi serta tindakan dapat dilaksanakan dari masa yang ditetapkan. – MalaysiaGazette