Sebahagian daripada warga asing etnik Rohingya dilihat bersantai sambil berkumpul beramai-ramai di kaki lima premis yang sebelum ini merupakan antara lokasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 12 Mei lalu berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, isu pelarian Rohingya dari Myanmar adalah krisis yang telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pengusiran keluar etnik Rohingya dari Myanmar pada 2017 adalah manifestasi terkini diskriminasi ke atas etnik itu oleh kerajaan mereka yang bermula sejak tentera memerintah pada 1962.

Katanya, walaupun Myanmar diterajui sebuah kerajaan demokratik yang dipimpin Aung San Suu Kyi, nasib etnik Rohingya tetap tidak berubah.

“Mereka masih dikecualikan daripada senarai 135 etnik yang dianggap sebagai rakyat Myanmar berdasarkan Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 Myanmar yang berkuatkuasa sehingga sekarang.

“Etnik ini pula kekal tidak bernegara dan hak-hak mereka terabai,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen.

Menurut Saifuddin, jumlah pelarian Rohingya di Malaysia pada masa ini sekitar 200,000.

Pada masa sama, katanya, pengusiran mana-mana populasi secara paksa adalah tersenarai sebagai salah satu jenayah kemanusiaan dalam undang-undang antarabangsa, khususnya Statut Rome berkenaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman ke atas Genosid 1948.

Walaupun penghentian pengusiran itu terletak sepenuhnya di bawah kuasa pemerintah di Myanmar, Malaysia dan negara sependirian perlu terus berusaha ke arah merealisasikan penghentian pengusiran tersebut.

Dalam hal ini, kata beliau, Malaysia mengambil langkah untuk terus mengetengahkan isu pelarian Rohingya dalam perbincangan peringkat serantau mahupun antarabangsa.

“Di peringkat ASEAN misalnya, Malaysia antara negara paling konsisten dan lantang mengutarakan mengenai isu pelarian Rohingya. Kita juga menyokong kuat usaha ASEAN dalam memudahcara repatriasi pelarian Rohingya kembali ke Myanmar.

“Malaysia juga melihat sekiranya kebertanggungjawaban atau akauntabiliti ke atas pengusiran etnik Rohingya ini dapat dicapai melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Etnik ini mungkin akan mendapat pembelaan yang sewajarnya dan pengusiran serta pencabulan hak asasi mereka boleh dihentikan,” katanya.

Mengenai usaha berhubung situasi di Myanmar di luar payung ASEAN, beliau menjelaskan, Malaysia mengambil pendekatan bekerjasama dengan negara ASEAN dan tidak bergerak secara sendiri.

Ini, menurut beliau, mengambil kira ASEAN mempunyai pengaruh lebih besar ke atas Myanmar untuk mengubah haluannya dan kembali kepada landasan demokrasi seperti yang telah dimandatkan oleh rakyat negara itu menerusi pilihan raya.

Kata Saifuddin, hasil pertemuan tergempar di peringkat Pemimpin-Pemimpin ASEAN untuk membincangkan isu berkenaan bersama wakil tentera Myanmar pada 24 April lalu, di mana Konsensus Lima Perkara telah dipersetujui oleh ASEAN.

“Kini ASEAN sedang melaksanakan Konsensus Lima Perkara bermula dengan bantuan kemanusiaan untuk Myanmar,” katanya. – MalaysiaGazette