Noraini Ahmad Higher Education IPT IPTS IPTA back to campus
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad mempertahankan pelantikan anak muda, Danesh Raj Nagarajan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (ALP) Universiti Malaya (UM).

Beliau berkata, pelantikan itu betul dan Danesh mewakili komposisi alumni universiti berkenaan berdasarkan penglibatan aktifnya dalam program dan aktiviti sepanjang bergelar mahasiswa.

“Sehingga kini pun, beliau masih lagi menyumbang kepada aktiviti alumni UM.

“Saya sudah nyatakan sebelum ini, pelantikan beliau sebagai satu bentuk penghargaan kepada orang muda, di samping memberi peluang kepadanya menyumbang untuk UM pada kaca mata alumni itu sendiri,” katanya di Parlimen petang ini.

Media melaporkan, Danesh Raj seorang belia berusia 26 tahun dilantik sebagai LPU UM berkuatkuasa semalam hingga 3 Oktober 2024.

Danesh, graduan Pusat Kebudayaan UM dan merupakan Ahli Parlimen Belia Malaysia.

Dalam satu program anjuran Putera MIC pada 5 Jun tahun lalu, Danesh dilihat menjadi antara ahli panel forum bertajuk, “Cabaran Belia dan Kelestarian Sosio-ekonomi Dalam Norma Baru”.

Pemimpin MIC yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Danesh sebagai Ahli Lembaga Pengarah di universiti di tangga 65 dalam senarai 100 universiti dunia itu.

Menurut Noraini, kerajaan mahu melihat sumbangan secara langsung anak muda dalam kepimpinan organisasi di peringkat nasional terutama di universiti awam. – MalaysiaGazette