Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuka sebanyak 86 kerta siasatan yang berkaitan dengan penyebaran berunsur penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja.

Semua kes itu direkodkan berlaku dari tahun 2018 hingga Ogos lalu, termasuk empat kes dalam perbicaraan di mahkamah.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, kertas siasatan itu dibuka berdasarkan laporan dan aduan orang ramai selepas unsur penghinaan itu tersebar melalui media sosial.

“Kita menubuhkan Jawatankuasa Jenayah Siber bertujuan untuk memerangi ancaman jenayah siber secara lebih strategik dan tersusun.

“Jawatankuasa ini dianggotai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan SKMM sendiri berperanan untuk menyelaraskan tindakan penguatkuasaan yang lebih pantas,” katanya ketika menggulung RMK-12 berkaitan kementerian itu di Parlimen.

Beliau berkata, KKMM juga menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Penjelasan Isu dan Berita Palsu pada Julai lalu sebagai usaha memperkasakan penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Jawatankuasa itu, katanya, berperanan membincangkan naratif bagi menjelaskan atau menafikan isu yang dikenal pasti isu semasa serta berita palsu dengan input kementerian berkaitan. – MalaysiaGazette