Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan notis rayuan terhadap usul yang ditolak Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk meminta sesi perbahasan diadakan berkaitan pendedahan Pandora Papers.

Ahli Parlimen Port Dickson itu membuat rayuan selepas Azhar semalam memutuskan menolak usul membahaskan laporan Pandora Papers yang mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti dan pemimpin agama menyembunyikan wang dan pelaburan mereka.

“Susulan penolakan usul terkait Pandora Papers semalam, hari ini saya sudah mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Saya berpendapat bahawa perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers perlu disegerakan. Saya berharap rayuan usul ini dapat diteliti dan dipertimbang dengan sesegera mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau di sini hari ini.

Dalam notis itu yang turut disiarkan di Facebook beliau, Anwar menjelaskan rayuan semula kepada usul asal yang ditolak itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 90(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Semalam, Azhar ketika menjelaskan penolakan usul itu berkata, usul berkenaan tidak perlu disegerakan dan mencadangkan supaya dirujuk dan dibincang dalam prosedur lain termasuk dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Namun beliau mengakui ia penting dan berkepentingan awam.

Anwar berpendapat perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers penting memandangkan dalam laporan itu, ia turut mendedahkan pembabitan beberapa individu termasuk ahli politik di negara ini. – MalaysiaGazette