Sebanyak 13 kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan tujuh negeri termasuk Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Pahang dan Kedah dengan 243 kes baharu Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan tujuh negeri termasuk Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Pahang dan Kedah dengan 243 kes baharu Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lapan kluster melibatkan tempat kerja, tiga komuniti dan dua pendidikan lain.

Antara lapan kluster tempat kerja itu ialah Industri PLO Parit Raja, Batu Pahat; Jalan Yahya Kota Tinggi, Kota Tinggi dan Industri Tun Abdul Majid, Kota Tinggi, Johor serta Kampung Bukit Bunga, Tanah Merah dan Pasir Mas serta Jalan Banggol Setol, Pasir Mas, Kelantan.

“Tiga lagi kluster tempat kerja ialah Industri Jalan Senawang Tiga 2, Seremban dan Rembau, Negeri Sembilan; Permatang Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang serta Industri Jalan Enggang Batu 9, Kuala Langat, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut mengenal pasti tiga kluster komuniti melibatkan Paya Sendayan, Temerloh, Pahang; Kampung Pantos, Lipis, Pahang serta Jalan Terus, Mersing, Johor.

Katanya lagi, dua lagi kluster baharu yang dikenal pasti melibatkan kluster pendidikan lain, iaitu di Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan serta Dah Taman Ihsan, Kulim, Kuala Muda dan Baling, Kedah.

Sementara itu, sebanyak 4,649 kluster telah ditamatkan, manakala 911 lagi masih aktif setakat jam 12 tengah hari ini. – MalaysiaGazette