Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases recoveries
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 9,890 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak merupakan negeri yang mencatatkan kes paling tinggi, iaitu 1,413 kes dengan jumlah kumulatif kes mencecah 221,042 kes.

“Selain Sarawak, Selangor juga mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu 1,402 kes, dengan kes kumulatif mencecah 686,170 kes.

“Kelantan pula negeri ketiga tertinggi dengan 1,032 kes, dengan kes kumulatif kini mencecah 122,535 kes,” katanya dalam ciapan di akaun Twitternya, hari ini.

Selain itu, sebanyak tujuh negeri merekodkan lebih 500 kes baharu hari ini yang mana Johor mencatatkan 993 kes manakala Sabah pula dengan 820 kes.

“Ini disusuli dengan Perak sebanyak 794 kes, Pulau Pinang (721), Terengganu (699), Pahang (564) dan Kedah (503),” katanya.

Katanya, sebanyak enam negeri pula merekodkan di bawah 500 kes termasuk Melaka sejumlah 260 kes, Kuala Lumpur dengan 250 kes dan Perlis sebanyak 200 kes.

“Manakala Negeri Sembilan pula mencatatkan 180 kes, diikuti dengan Putrajaya (59) dan Labuan (0),” katanya. – MalaysiaGazette