KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) sedang merangka pelan pemulihan dalam sistem pendidikannya semula dalam usaha berdepan era pasca Covid-19.
LUCT dalam satu kenyataan berkata, ketika ini sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan akan mengalami banyak perubahan serta pembaharuan.
Justeru, tumpuan LUCT kini bagi menempuh cabaran mendatang dalam melaksanakan langkah-langkah pemulihan dalam menarik semula graduan untuk menimba ilmu di universiti itu sebelum melangkah ke alam pekerjaan profesional.
“Bukan itu sahaja, Universiti Kreatif Limkokwing juga antara institusi pendidikan tempatan yang cuba memenuhi matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini.
“Ke arah itu memerlukan kami meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia bagi memperolehi status “World Class Education”.
“Keupayaan kami kini untuk menstabilkan universiti dan mewujudkan suasana pendidikan antarabangsa yang baharu menerusi pelajar mereka yang terdiri dari pelbagai negara dalam usaha menjadikan sistem pendidikan bertaraf dunia sekali gus menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara,” katanya kenyataan itu.
Legasi LUCT kini diteruskan sepasang anaknya, Datuk Seri Timothy Lim Kok Wing Jr dan Datuk Tiffanee Marie Lim selepas kematiannya pengasasnya, Tan Sri Lim Kok Wing pada 1 Jun lalu.
LUCT menambah, usaha akan dilakukan pihaknya sebagai era penambah baik sistem pendidikan yang secara tidak langsung telah membantu mempromosikan pendidikan khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia.
Bukan itu sahaja, komitmen yang dipamerkan oleh LUCT akan meningkatkan kewibawaan dan memulakan anjakan penjenamaan barunya membawa era pendidikan bertaraf antarabangsa sekali gus mampu mencapai misi dan visinya tersendiri untuk membantu dan mempromosikan sistem pendidikan Malaysia dan antarabangsanya.
“Pendidikan yang berkualiti amat penting bagi mencorakkan perubahan dan kemajuan pembangunan sumber tenaga manusia yang produktif di negara ini yang sedang mengorak langkah mencapai status negara maju.
“Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, semua pihak di negara ini yang terlibat dengan kegiatan pendidikan perlu meningkatkan komitmen mereka supaya sentiasa berusaha mengekalkan dan meningkatkan kualiti pendidikan untuk kemajuan dan perubahan,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette