Sayed Khairul Mizan (empat dari kiri) berbincang dengan Duta Afghanistan, Dr. Moheb Spinghar (tiga dari kanan) mengenai misi kemanusiaan dilancarkan NGO HaRUM.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) melancarkan kempen untuk membantu rakyat Afghanistan yang semakin dihimpit pelbagai krisis terutama kekurangan kemampuan membeli barang keperluan asas dan perubatan.

Krisis itu timbul apabila tumbangnya kerajaan Afghanistan pada Ogos lalu, apabila Amerika Syarikat memutuskan untuk mengundurkan pasukan tenteranya yang telah menduduki negara itu selama lebih 20 tahun.

Preside HaRUM, Sayed Khairul Mizan Abd. Wahab berkata, lebih memburukkan keadaan, sumber kewangan Afghanistan yang dianggarkan bernilai AS$9 bilion telah disekat oleh Bank Dunia.

Oleh itu, katanya, atas dasar dan prinsip kemanusiaan, HaRUM mengambil langkah inisiatif melancarkan kempen Tabung Kasih Afghanistan; Kekeluargaan Afghanistan untuk membantu rakyat negara itu yang telah mengalami krisis pentadbiran lebih empat dekad.

“Kempen bantuan ini amat diperlukan memandangkan keupayaan kewangan yang semakin menguncup dan mereka bakal menghadapi musim sejuk pada bila-bila masa sahaja.

“Pelbagai bentuk bantuan akan diusahakan seperti makanan asas, ubat-ubatan dan pelbagai lagi,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini hari ini.

Sayed Khairul Mizan berkata, sebagai langkah pertama, HaRUM telah mengadakan sesi suai kenal bersama Duta Afghanistan, Dr. Moheb Spinghar di Kedutaan Afghanistan.

Jelas beliau, pertemuan selama 30 minit itu membincangkan peluang kerjasama yang akan dijalinkan oleh HaRUM bersama beberapa pihak di Afghanistan.

“Dr. Moheb memaklumkan, selain barangan makanan dan keperluan perubatan, bantuan amat diperlukan ketika ini ialah kelengkapan menghadapi musim sejuk seperti khemah, selimut dan pakaian tebal.

“Beliau juga menekankan mengenai bantuan dan sokongan untuk membangunkan ekonomi rakyat Afghanistan, memandangkan segala sumber kewangan telah disekat, menyebabkan keadaan ekonomi mereka hampir lumpuh.

“HaRUM menyeru dan mengajak rakyat Malaysia berganding bahu menghulurkan bantuan agar misi bantuan kemanusiaan kepada warga Afghanistan ini dapat disempurnakan secepat mungkin,” katanya.

Bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) 5624 7814 6397 atau boleh lawati laman Facebook untuk mengikuti segala maklumat terkini.

“Semoga rakyat Malaysia mendoakan kerjasama ini berjalan lancar dan amat berharap agar menyokong misi kemanusiaan ke Afghanistan,” katanya. – MalaysiaGazette