KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk membenarkan aktiviti rentas negeri apabila 90 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap divaksin Covid-19 memerlukan disiplin tinggi daripada masyarakat bagi mengelak penularan virus itu.

Rata-rata orang ramai yang ditemui MalaysiaGazette berpendapat sudah tiba masa setiap individu perlu memikirkan kawalan kendiri apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Thuraya Nadia, 36, berkata, orang ramai perlu bijak mengatur pergerakan apabila kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri.

Katanya, mereka tidak sepatutnya terburu-buru dan pergerakan perlu dirancang terlebih dahulu.

“Kalau boleh rentas negeri tu jangan terus serbu, macam semut hurung gula, kita slow-slow lah, relax dulu, biar betul-betul 360 darjah selamat, boleh la nak ke sana-sini”, katanya.

“Kena berdisiplin. Jangan harap polis sahaja jaga kita, kita kena jadi polis kepada diri sendiri. Maknanya semua orang kena berjaga-jaga lah, jangan degil-degil,” katanya.

Thuraya Nadia, 36, ketika ditemui Malaysia Gazette di Ibu Kota

Bagi Jenna Siddi, 35 yang berasal daripada Sarawak, kebenaran untuk merentas negeri merupakan berita yang dinanti-nantikan.

Bagaimanapun katanya, agak mustahil bagi pihak berkuasa untuk menjalankan sekatan jalan raya (SJR) seperti sebelum ini apabila ia dilaksanakan kelak.

“Kalau buat SJR pun, mesti mereka akan minta surat polis. Polis pun nanti tak boleh nak ‘control’ dan akan beri kelulusan sahaja. Jadi, biar sahaja lah, rentas sahaja lah. Jaga diri sendiri je lah,” jelasnya.

Jenna Siddi, 35, ketika ditemui Malaysia Gazette

Dalam pada itu, Zulkhairi Zabidi, 36 pula yakin rakyat di negara ini berdisiplin dan akan mematuhi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalani kehidupan secara norma baharu\.

Berikutan itu, katanya, tiada masalah untuk kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri selepas ini.

“Saya tak rasa perlu perketatkan SOP, tapi polis hanya perlu pertingkatkan pengawalan.

“Maksudnya dari segi pemerhatian dan pemantauan, sama ada berlaku perkumpulan dan sebagainya,” kata beliau apabila ditanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memperketat SOP jika rakyat mula dibenarkan bergerak melangkau negeri.

Zulkhairi Zabidi, 36 ketika ditemui Malaysia Gazette

Tambah Zulkhairi, dalam situasi negara sudah mencapai imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), penularan wabak ini boleh dikawal dan risiko jangkitan juga dapat dikurangkan.

Ktanya, ini terbukti dengan penurunan kadar penggunaan katil di wad-wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus.

Portal Covidnow.com.my menunjukkan sebanyak 89.1 peratus atau 20,856,337 individu dewasa negara ini telah lengkap menerima dua dos vaksin setakat semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast