Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman (berdiri, kanan) saksi Majlis Menandatangani Perjanjian Pusat Penilaian dan Pembangunan MIDA (MADC) di antara MIDA, UKM, UTM, dan UPM di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 08 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pusat Penilaian & Pembangunan MIDA (MADC) menyasarkan seramai 500 bakat tempatan dapat dilahirkan sebagai Generalis Internet Segala Benda (IoT) menerusi Program HyTalent MADC.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman berkata, program selama setahun akan bermula pada Januari ini dan terbuka kepada semua pemegang sarjana muda yang belum bekerja.

Menurut beliau, sebagai projek printis, Program HyTalent MADC akan melibatkan kerjasama tiga hala antara MIDA dan tiga institut pengajian tinggi awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia serta pihak industri.

“Kerjasama tiga hala antara MIDA, universiti dan syarikat akan mengumpulkan kekuatan dan memanfaatkan kekayaan kepakaran industri, mempersiapkan graduan universiti dan garduan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional dengan kemahiran dan keperluan Industri 4.0 terutama dalam bidang IoT, Internet Perindustrian Segala Benda (IIOT), Robotik, Kecerdasan Buatan (Al), Data Besar dan Keselamatan Siber.

“Sebagai inisiatif pertama, MIDA bersama tiga universiti awam terkenal berusaha untuk menjalinkan kerjasama secara efektif untuk menjana 500 bakat tempatan sebagai generalis IoT,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pusat Penilaian dan Pembangunan MIDA (MADC) di antara MIDA, UKM, UTM, dan UPM di MIDA Sentral, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 08 OKTOBER 2021.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) Program HyTalent MADC di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Arham berkata, MADC akan terus memberikan sokongan yang diperlukan untuk industri teknologi tinggi berasaskan pengetahuan dan pelaburan intensif modal bagi menghasilkan kesan berlipat ganda dalam ekonomi negara termasuk peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Jelas beliau, matlamat Tujuan keseluruhan pusat itu  adalah untuk meningkatkan kecekapan negara dan daya saing global untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Program HyTalent MADC sememangnya menjadi tonggak penting bagi MIDA dalam memperkukuh pemboleh ekonomi.

“Dalam usaha menyokong program bakat, MIDA secara aktif kini terlibat dalam mengembangkan, meningkatkan dan melatih program latihan untuk keperluan tenaga kerja tertentu oleh syarikat antarabangsa yang berada di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman (tiga kanan) bergambar kenangan selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pusat Penilaian dan Pembangunan MIDA (MADC) di antara MIDA, UKM, UTM, dan UPM di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 08 OKTOBER 2021.