Ahmad Zahid Hamidi corruption trial Yayasan Akalbudi foundation
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Propaganda mahu menyalahkan UMNO disebalik apa yang berlaku tidak rasional kerana wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan bebas turut terlibat.

Secara harfiah apa yang terjadi disebabkan masalah dalaman di Melaka dan ia melibatkan wakil rakyat daripada beberapa parti yang diketahui, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun seperti kata Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas berjumpa dengan ahli UMNO di Melaka, nasi sudah menjadi bubur.

Maka parti perlu bersiap siaga mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika itu ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

”Kerana itu saya pernah menyatakan di Dewan Rakyat jika benar kerajaan Melaka sudah tumbang elok kita kembalikan mandat kepada rakyat.

”Tetapi saya tidak mengulas lebih ketika itu disebabkan masa untuk bercakap adalah terhad sedangkan banyak lagi hal rakyat perlu diketengahkan kepada dewan.

”Kemudian pada sidang media di bangunan Parlimen saya menjelaskan dengan lebih terperinci tentang pendirian saya,” katanya.

Walaupun langkah terbaik untuk menangani kemelut di Melaka dengan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), namun masih perlu mengambil kira faktor lain.

Maka sebaiknya ia diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, sehingga sebarang pilihan raya mungkin diumumkan oleh SPR, Ketua Menteri Melaka akan berfungsi dalam bentuk “care taker goverment”. – MalaysiaGazette