Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Lebih 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Program Gerak Kerjaya Johor 2021 anjuran Unit Strategik Modal Insan Johor secara dalam talian antara 18 hingga 29 September lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, usaha dilakukan itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat yang sedang mencari ruang pekerjaan sesuai dengan kebolehan masing-masing.

Beliau berkata, bermula 23 hingga 29 September lalu sebanyak 64 majikan terlibat dengan lebih 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

“Pandemik Covid-19 yang melanda membuatkan peluang kerjaya menjadi terhad. Usaha yang dilakukan pihak Unit Strategik Modal Insan Johor ini dapat menyediakan ruang dan peluang kepada semua pihak sama ada pencari kerja mahupun majikan,”katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Penutup Program Gerak Kerjaya Johor 2021 secara dalam talian yang turut disertai Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad, di sini.

Katanya lagi, fungsi Unit Strategik Modal Insan Johor begitu luas dalam pembangunan modal insan terutama dalam kerjaya rakyat Johor.

“Unit ini mempunyai potensi untuk dijadikan medium utama institusi pekerjaan di Johor dalam pelbagai sektor mendapatkan tenaga mahir seterusnya melahirkan teknokrat dalam bidang masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette