abatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mahukan keadilan untuk anggotanya Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim terlaksana walau apa juga kaedah yang diambil pihak berkuasa dalam menentukan punca kematiannya.
Laporan Penuh Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan hadapan.

KUALA LUMPUR – Satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Perdana Menteri, Datuk Ser Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan, sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri ini akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan

Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia selepas cedera parah dipukul oleh sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada awal pagi 27 November 2018.

Mangsa bersama pasukannya berada di tempat kejadian selepas 18 kenderaan dilaporkan dibakar susulan rusuhan tersebut.

Akibat daripada kejadian dipukul, Muhammad Adib kemudiaan dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira jam 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, pada keesokan malamnya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 9.41 malam di institut berkenaan.

Kerajaan kemudian memutuskan untuk mengadakan inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba itu.

Mahkamah Koroner pada September 2019 memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Kematian Allahyarham yang didakwa tidak dibela menjadi isu dan paling terbaharu apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka jika terdapat bukti baharu. – MalaysiaGazette