(Picture for representational purposes only). Election Commission (EC) making final preparations by carrying poll boxes for the P.132 Port Dickson by-election. at Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 12 OCTOBER 2018 Undi 18
Gambar hiasan.

SEMUA pihak perlu berfikir seribu kali sebelum ingin mengadakan proses pilihan raya pada ketika ini dalam negara kita sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri. Keutamaan harus diberikan kepada aspek keselamatan, kesihatan dan nyawa rakyat dikala negara kita sedang bergelut dengan masalah pendamik Covid-19. Fokus seharusnya diberikan bagi mengawal penularan Covid-19 dan membantu rakyat yang terkesan dengan penularan Covid-19.

Sebarang panggilan untuk melakukan proses pilihan raya awal dalam negara kita sama ada pilihan raya di peringkat persekutuan ataupun peringkat negeri perlu dilakukan sebagai langkah terakhir sekiranya tiada pilihan lain lagi untuk dilakukan demi kestabilan politik dan sistem pentadbiran negara kita. Panggilan pilihan raya boleh dilakukan sekiranya negara secara keseluruhannya ataupun sesebuah negeri yang ada dalam negara kita tidak memiliki sebuah kerajaan yang benar-benar stabil sehingga menjejaskan proses pentadbiran negara kita dengan serius.

Terdapat banyak cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak bagi menghentikan kemelut politik yang sedang berlaku dalam negara sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri, antara cadangan yang telah dikemukakan ialah dengan membentuk sebuah kerajaan minoriti, membentuk sebuah kerajaan perpaduan, serta membubarkan terus Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi jalan kepada proses pilihan raya umum awal untuk dilakukan.

Di Malaysia, proses pembubaran Parlimen hanya melibatkan Dewan Rakyat dan tidak bagi Dewan Negara. Dewan Rakyat ini dibubarkan setelah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan selalunya dibuat atas nasihat Perdana Menteri. Tempoh maksimum bagi sebuah penggal Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia serta Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah lima tahun. Ini membawa maksud bahawa genap lima tahun tarikh pertama persidangan diadakan selepas pilihan raya umum yang lepas, Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan terbubar dengan sendirinya.

Namun pilihan raya awal boleh dipanggil sebelum tamatnya tempoh lima tahun berkenaan. Ini jelas termaktub dibawah Perkara 55 (2), (3), dan (4) Perlembagaan Persekutuan. Proses yang sama juga untuk peringkat negeri-negeri yang mana semuanya bergantung pada budi bicara serta perkenan daripada ketua kerajaan negeri masing-masing iaitu sultan, raja, ataupun Yang di-Pertua Negeri seperti yang telah ditetapkan oleh perlembagaan negeri masing- masing.

Persoalannya kini, apa kebaikan dan keburukan sekiranya kita mengembalikan mandat kepada rakyat serta melaksanakan proses pilihan raya awal sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri-negeri. Untuk rekod, kita baru selesai menjalani proses pilihan raya umum pada bulan Mei 2018 yang lalu. Kecuali bagi negeri Sabah yang baru sahaja selesai melakukan proses pilihan raya negeri pada tahun 2020, mengikut Perlembagaan Persekutuan kita masih memiliki tempoh kurang dua tahun lagi sebelum tarikh pilihan raya umum baru diadakan.

Sama ada dengan adakan proses pilihan raya ini membawa kebaikan ataupun keburukan kepada kita semuanya bergantung pada keadaan semasa yang berlaku dalam negara kita. Sekiranya kemelut politik yang sedang berlaku dalam negara kita ini sama ada di peringkat persekutuan ataupun diperingkat negeri masih berpanjangan berlaku sehingga menjejaskan proses pentadbiran dengan serius maka kita tidak memiliki pilihan lain selain daripada mengadakan proses pilihan raya awal bagi memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru bagi mentadbir negara ataupun mana-mana negeri yang terlibat. Sekiranya proses pentadbiran negara kita masih berjalan seperti biasa tanpa gangguan serius, maka tidak perlulah kita mengadakan proses pilihan raya.

Perlu diingati, proses pilihan raya ini adalah satu perkara yang serius bukan satu perkara main-main kerana ia melibatkan banyak perkara. Pilihan raya bukan hanya sekadar membuang undi ke dalam kotak undi seperti yang dilakukan oleh para pengundi. Peruntukan wang yang besar perlu dibelanjakan bagi menjalani proses pilihan raya. Proses pilihan raya ini juga menuntut setiap rakyat yang layak untuk mengundi untuk meluangkan masa dan tenaga mereka untuk pergi mengundi.

Keputusan yang diperolehi setelah selesai pengiraan mengundi juga boleh terdedah kepada risiko ketidakpuasan hati oleh mana-mana pihak terutamanya oleh pihak yang kalah sehingga boleh diheret ke dalam mahkamah selama bertahun-tahun. Proses panggilan pilihan raya awal ini juga boleh menghantar satu isyarat yang salah kepada ramai pihak khususnya pihak luar negara yang negara kita kini berada dalam keadaan tidak stabil, sekali gus menjejaskan kemasukan pelaburan ke dalam negara kita dan mengugat keadaan ekonomi kita.

Pada masa yang sama juga, proses pilihan raya yang dibuat ini boleh menjejaskan fokus kita semua untuk membendung penularan penyakit berjangkit berbahaya Covid-19 yang sedang dialami pada ketika ini serta membantutkan usaha kita bagi memperbaiki keadaan ekonomi negara kita. Kita juga tidak seharusnya lupa kesan daripada mengadakan proses pilihan raya di Sabah pada tahun yang lalu yang telah menyebabkan lonjakan kes jangkitan Covid-19 berlaku dalam negara kita sehingga kini. Adakah ini yang kita mahukan? Oleh yang demikian, semua pihak yang terlibat harus memikirkan dengan mendalam segala kesan akibat daripada panggilan pilihan raya awal ini khususnya terhadap rakyat, ekonomi dan negara kita.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)