Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim beremosi selepas Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, menolak usul membahaskan isu Pandora Papers.

Beliau yang tidak berpuas hati mendakwa Datuk Azhar Azizan Harun mahu menjadi peguam kepada mereka yang terlibat.

Anwar berkata, beliau mempunyai dokumen berkaitan isu berkenaan yang ada kaitan dengan kehilangan wang berjumlah ratusan bilion ringgit.

“Saya tak faham kenapa speaker memilih untuk menjadi peguam bela kepada orang-orang ini.

“Saya nak supaya benda ini dibentang dan dibahas. Kalau betul ada lima pound, lima poundlah.

“Tetapi kalau ikut nama-nama (tidak mahu sebut) itu jauh melebihi (jumlah wang yang dilaporkan). Jadi, laporan dua muka surat memerlukan masa. Jangan tanya sumber saya,” katanya.

Beliau turut mendakwa mempunyai lebih banyak maklumat berbanding maklumat yang dibaca oleh Azhar melalui laporan media.

Menurut Ahli Parlien Port Dickson itu, beliau tetap mahu perkara dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ujarnya, beliau mempersoalkan bagaimana pemimpin-pemimpin negara yang terlibat boleh mengumpul wang yang banyak di luar negara dan mahu Speaker Dewan Rakyat mengambil berat berkaitan isu berkenaan.

Terdahulu, Azhar memaklumkan beliau telah membaca mengenai laporan berkaitan perkara itu dan melihatnya secara terperinci.

Bagaimanapun katanya, jumlah yang disebut tidaklah begitu banyak sebagaimana yang didakwa.

Azhar memberitahu, beliau bukan mahu menjadi peguam di dalam isu tersebut, sebaliknya hanya mahu memperbetulkan mengenai maklumat yang diberikan. – MalaysiaGazette