PAS logo Melaka state election Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

PETALING JAYA – Pas secara terbuka menerima komentar berkaitan pemimpin tertinggi parti itu, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, parti itu menganggap penularan audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang didakwa mempertikai kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tular di media sosial semalam adalah perkara biasa dalam parti.

“Pas terbuka dan komentar-komentar ini, kita rasa komentar biasa dan bukan satu agenda baharu, bagi itu kita terbuka dan proses demokrasi dalam parti berjalan dan kita ada pemilihan pada tahun ini, dan kita akan teruskan dan sekarang ini telah ada mesyuarat di peringkat cawangan dan bulan depan mengikut kawasan dan November nanti kita ada mesyuarat di peringkat pemilihan.

“Jadi tidak ada isu, dalam Pas kalau sesiapa kempen akan kalah,” katanya dalam sidang media majlis pemeteraian kolaborasi bagi mengambil alihan sistem perbentungan awam di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.

Sabtu lalu, tular audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang didakwa mempertikai kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di media sosial.

Rakaman audio itu didedahkan seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ahmad Rizqi Khairuddin.

Antara lain, audio itu mendedahkan pemimpin Pas yang dinamakan Dr T itu mendakwa, Abdul Hadi percaya bahawa Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding Barisan Nasional (BN).

“Tok Guru ini berpegang pada pandangan survey (kaji selidik) yang menunjukkan PN naik, BN turun. Tetapi, dia kata, kita kena raikan juga, UMNO masih ada akar umbi.

“Ayat itu Tok Guru ulang selalu. Ulang pada ungkapan, tetapi pada praktikalnya, tidak ditunjukkan. Jadi, kita susah hati,” demikian menurut audio berkenaan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas meraikan perbezaan pandangan terhadap kepimpinan parti itu dan pendedahan tersebut tidak menjejaskan kredibiliti Abdul Hadi untuk terus mewakili Pas.

“Tidak apa (tak jejaskan kredibiliti), tapi kita akan tengok kepada pencalonan dan kita yakin tidak akan ada isu, pandangan berbeza kita hormati, perbezaan bukan bantahan,” katanya lagi.

Pendedahan audio ini dipercayai ada kaitan dengan pemilihan pimpinan Pas yang akan diadakan November ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast