26 tahun
KUALA LUMPUR – Bertugas sebagai ‘frontliners’ memberi kesan mendalam dan kesedaran kepada Muhamad Ali Abd Kadir tentang pentingnya menderma darah
Muhamad yang merupakan penolong pegawai perubatan berkata, beliau teruja setiap kali ada kempen derma darah dan tidak akan melepaskan peluang untuk menjalankan tanggungjawab itu.
Katanya, kesedaran itu timbul dengan niat mahu membantu orang lain apabila menyedari permintaan bekalan darah sentiasa tinggi.
“Niat derma darah serta keinginan itu juga timbul ketika saya menjadi pelajar dalam bidang perubatan ini lagi.
“Bayangkan sejak itu saya sudah melalui pengalaman mencemaskan tentang betapa pentingnya bekalan darah ini terutamanya pada waktu kecemasan,” katanya yang telah menderma darah sebanyak 40 kali.
Menurut Muhamad, beliau yang bertugas di hospital nampak bagaimana pesakit yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berdepan masalah mendapatkan darah.
“Biarpun kita nampak sihat, apabila disaring, darah kita mungkin tidak sesuai. Mungkin juga gaya hidup kita tidak sesuai. Sejak itu, lahir rasa tanggungjawab dan mula bertanya, kenapa saya yang sihat ini, tidak boleh menderma darah?
“Jadi, apabila tahu ada saja program derma darah di mana-mana saya tidak akan menolak dan menderma sekurang-kurangnya beberapa kali, hari ini merupakan kali ke-40 saya menderma dan perasaan itu masih lagi teruja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada program ‘Jom Kempen Derma Darah dan Organ’ anjuran SP Care Group dengan kerjasama Tamil Malar di Wisma SP Care Antara Gapibaru-baru ini.
Muhamad yang juga bertugas di Unit Perkhidmatan Transplan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) aktif melakukan kempen derma organ.
Dalam pada itu, pengasas SP Care Group, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, walaupun sibuk dengan tugasan hakiki sebagai barisan hadapan yang bergelut dengan pandemik Covid-19 namun beliau tetap mahu menjalankan tanggungjawab atas dasar kemanusian.
Jelas beliau, pihaknya maklum dengan pengumuman Kementerian Kesihatan mengenai kekurangan bekalan darah.
“Ini untuk membantu pesakit yang memerlukan termasuk kebelakangan ini terdapat ramai pesakit Covid-19 terutamanya yang mempunyai latar belakang penyakit kronik turut memerlukan transfusi darah.
“Ini bukan kali pertama SP Care laksanakan program kempen derma darah, organ sebaliknya kali keenam namun kali ini berlainan sedikit dengan keadaan pandemik yang memerlukan perhatian lebih bagi pendermaan darah serta organ,” ujarnya. -MalaysiaGazette