Pemandu bas melakukan semakan sijil vaksinasi penumpang sebelum pulang ke kampung halaman pada hari pertama kebenaran merentas negeri susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas negara sudah mencapai 90 peratus kadar vaksinasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Selepas hampir sembilan bulan tidak dibenarkan untuk merentas negeri, orang ramai akhirnya boleh menarik nafas lega susulan kelonggaran yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mendapati, suasana di sini kini kembali sibuk apabila orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melakukan perjalanan rentas negeri pada hari pertama.

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di terminal berkenaan turut dipantau ketat oleh kakitangan TBS yang bertugas apabila setiap individu akan diperiksa suhu badan di kawasan parkir bertingkat dan perlu mengimbas kod MySejahtera masing-masing di setiap pintu masuk.

Orang ramai beratur untuk memnbeli tiket bas di kaunterĀ  ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2021.

Selain itu, individu yang ingin membeli tiket di kaunter-kaunter tiket bas ekspres harus menunjukkan sijil vaksinasi digital pada aplikasi MySejahtera terlebih dahulu.

Antara kemudahan lain yang turut disediakan di terminal berkenaan adalah penjualan kit ujian kendiri Covid-19 bagi mana-mana individu yang ingin menjalankan saringan sebelum memulakan perjalanan.

Bagi pembantu tadika, Noraini Nik, 33, dia merasa amat teruja untuk pulang ke kampung halaman di Felda Chini, Pahang sejurus mendengar pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam.

“Memang dah tak sabar sangat nak pulang bertemu keluarga di kampung sebab itu hari ini saya terus datang untuk beli tiket bas.

“Saya sendiri tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan teruja kerana sudah hampir setahun tidak pulang ke kampung jadi kelonggaran yang diberikan kerajaan ini sepatutnya digunakan sebaiknya oleh semua pihak. Apa yang penting semua tak leka untuk menjaga SOP,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Hadirah Hamdan

Sementara itu, pekerja swasta, Hadirah Hamdan, 21, berkata, hari ini merupakan antara saat yang ditunggu-tunggu selama ini apabila kerajaan akhirnya menarik semula larangan merentas negeri setelah sekian lama berkurung.

Menurut Hadirah, dia sudah tidak sabar untuk bertemu kedua orang tuanya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Saya terus ambil cuti untuk pulang ke kampung sebab kali terakhir berjumpa dengan keluarga pada tahun lalu.

“Tapi kita pun kena sentiasa beringat walaupun kerajaan dan beri kelonggaran untuk merentas negeri dan pergi ke mana-mana sahaja, tapi sebaiknya SOP jangan lupa.

“Individu yang sudah lengkap dua dos vaksin pun masih perlu berjaga-jaga kerana tidak semestinya kita tidak akan dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

Muhammad Daniel Sazali

Manakala bagi pelajar, Muhammad Daniel Sazali, 19, dia merasa amat bersyukur selepas mendengar perkhabaran gembira yang diumumkan semalam kerana sudah terlalu rindu untuk bertemu keluarga.

“Selepas ini nak merentas negeri pun mudah kerana kita dah tak perlu nak memohon kebenaran dari pihak polis dan sebagainya, boleh terus pulang ke kampung masing-masing.

“Raya pun saya tak dapat balik jadi memang seronok sangat lepas dengar pengumuman semala. Saya terus bercuti seminggu untuk balik ke Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Seorang polis bantuan melakukan pemeriksaan suhu para penumpang sebelum menaiki bas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2021.

Terdahulu, kerajaan memberi kebenaran rentas negeri kepada individu lengkap vaksinasi bermula hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu susulan kadar vaksinasi dewasa sudah mencapai 90 peratus.

“Mulai esok, bebaslah dan inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggukan masyarakat selepas kerajaan sebelum ini terpaksa tegas dari segi pergerakan rentas negeri.

“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang lama berpisah, melancong dan sebagainya,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya semalam. – MalaysiaGazette