Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan empat aktiviti menerusi Program Kokurikulum Pendidikan Islam peringkat kebangsaan dalam norma baharu tahun 2021.

Aktiviti kokurikulum itu meliputi Ihtifal KAFA Kebangsaan (IKK), Majlis Ihtifal Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM), Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) dan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama (MESMA).

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, program itu diadakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri (PBAN) iaitu Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri dan Yayasan Islam Negeri di seluruh negara.

Katanya, ia merupakan program tahunan Jakim yang diadakan setiap tahun sejak 2014, kecuali 2020 apabila negara dilanda pandemik Covid-19.

“Sebagai Langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, pelaksanaan program ini hanya melibatkan dua aktiviti sahaja iaitu IKK dan MIISMAM.

“Pelaksanaannya adalah secara rakaman video dengan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Peserta terlibat ialah murid Program KAFA dan Sekolah-sekolah Menengah Agama seluruh negara bawah PBAN dan penyelarasan Lembaga Penasihat Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, objektif pelaksanaan IKK dan MIISMAM ialah untuk memberi ruang dan peluang kepada murid KAFA serta SMA menyerlahkan bakat dan kemampuan masing-masing.

Ia juga, katanya, bagi menyerlahkan bakat dan kepimpinan pelajar melalui pertandingan yang dianjurkan, di samping membolehkan pelajar mendapat markah merit program kokurikulum iaitu 10 peratus untuk kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh dan universiti awam.

“Objektifnya juga sebagai memenuhi merit pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dan universiti serta mengeratkan hubungan silaturahim antara negeri yang bertanding.

“Selain itu, melaksanakan prinsip Maqasid Syariah dalam menjaga, memelihara dan meningkatkan kecerdasan akal pelajar melalui aktiviti kokurikulum,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, acara yang akan dipertandingkan ialah sesuai untuk dilaksanakan secara rakaman dan menepati SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antaranya, IKK melibatkan tilawah al-Quran, hafazah al-Quran, bercerita kisal al-Quran.

Manakala MIISMAM pula, tilawah al-Quran. hafazan, al-Quran, syarahan, bahasa Melayu, syarahan bahasa Arab, syarahan bahasa Inggeris, khat dan bacaan kitab thurath.

Tempoh pelaksanaan IKK dan MIISMAM bermula April lalu hingga Oktober ini dengan majlis penghakiman diadakan di Bilik seminar Al-Baiyinah, Kompleks Islam Putrajaya dan penonton boleh mengikuti secara live melalui Facebook Jakim serta sisipan rancangan melalui Persada Jurnal di TV1. – MalaysiaGazette