Menara Komunikasi di Kg. Bukit Qouin Ladang Sg. Kawah

 

KUALA LUMPUR – Penduduk di enam buah kampung di Bahagian Tawau, Sabah iaitu di daerah Tawau, Semporna dan Kunak kini dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G yang lebih pantas dan berkualiti selepas enam daripada sembilan menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah beroperasi sepenuhnya sejak 30 Julai 2021 lalu.

Enam menara komunikasi baharu yang dimaksudkan itu ialah dua menara yang terletak di Tawau iaitu Kg. Bukit Qouin Ladang Sg. Kawah dan Kg. Tamang Pulau Sebatik; dua di Kg. Kabimbangan dan Kg. Igang Igang serta dua lagi di Kg. Kunak 3 dan Kg. Telaga Tujuh.

Seramai 18,850 orang penduduk di keenam-enam buah kampung tersebut dijangka mendapat manfaat daripada pelaksanaan pembinaan menara berkenaan.

Dalam pada itu, kerja-kerja pembinaan dan pemasangan alat pemancar di tapak menara komunikasi baharu bagi tiga lokasi di daerah Tawau iaitu di Kg. Iban Kuala Nangsang, Kg. Sungai Udin Sabah Softwood dan Kg. Skim Mesej Ladang Sungai Labah di Pulau Sebatik sedang giat dilaksanakan oleh pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku keempat Disember 2021.

Setakat bulan Ogos 2021, pelaksanaan pelan JENDELA di Bahagian Tawau telah menyaksikan sejumlah 16,480 premis di daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu, telah disediakan akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi manakala sebanyak 2,051 premis lagi masih dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap pada Mac 2022.

Peluasan perkhidmatan jalur lebar talian tetap ini melibatkan kawasan perumahan, komersial, industri dan institusi kerajaan.

Dalam usaha meningkatkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih di Bahagian Tawau Sabah, sebanyak 467 stesen pemancar sedia ada telah siap dinaik taraf kepada teknologi 4G, manakala sebanyak 415 lagi stesen pemancar sedang giat dinaik taraf secara berperingkat dan dijangka siap serta boleh dinikmati oleh penduduk setempat pada Mac 2022.

Selain itu, terdapat 21 lokasi Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Melalui Satelit (VSAT) di Bahagian Tawau iaitu lapanĀ  di daerah Tawau, dua di daerah Semporna, tiga (3) di daerah Kunak dan lapan lagi di daerah Lahad Datu.

Perkhidmatan ini, yang dijangka siap dilaksanakan menjelang Januari 2022 akan berfungsi sebagai penyelesaian cepat kepada masalah kesalinghubungan sehingga penyelesaian yang kekal dilaksanakan.

Para penduduk di setiap lokasi akan berpeluang menikmati perkhidmatan WiFi berkualiti tinggi secara percuma.

Menerusi pelaksanaan inisiatif-inisiatif berkenaan, ianya bakal merubah kehidupan penduduk di Bahagian Tawau selain memastikan penduduk di sana dapat meningkatkan kemahiran diri dalam berhadapan dengan era digital yang pesat berkembang.

Bagi para penduduk di Bahagian Tawau dan kawasan sekitarnya yang ingin mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar tempat tinggal mereka ataupun membuat aduan kepada pihak penyedia perkhidmatan boleh berbuat demikian dengan melayari JENDELA Map di pautan https://jendela.my. – MalaysiaGazette