Pulau Batu Puteh yang pernah menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.

KUALA LUMPUR – MCA berharap tindakan undang-undang tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau menyalahgunakan kuasa dalam kes Pulau Batu Puteh.

Pengerusi Biro Komunikasi Antarabangsa dan Diplomasi MCA, Dr Tee Ching Seng berkata, kehilangan Pulau Batu Puteh adalah titik hitam dalam sejarah kedaulatan negara.

Oleh itu, tindakan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas adalah tepat.

“Sekiranya didapati wujud unsur-unsur kecuaian dan kesalahan, mereka yang terlibat mestilah dibawa ke muka pengadilan untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Ching Seng berkata, MCA amat mengalu-alukan pengumuman kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

Pada masa sama juga turut mempersoalkan mengapa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara selama 22 bulan mahu menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu pada 2018, apabila terdapat penemuan dokumen baharu yang menyokong tuntutan negara terhadap pulau tersebut.

Jelasnya, tindakan menarik balik permohonan semakan bererti melepaskan hak Malaysia.

”Apakah mereka tidak tahu wilayah negara tidak boleh dikompromikan, walaupun seinci?

”28 Mei, 2018 merupakan hari yang malang untuk Malaysia apabila kerajaan PH ketika itu melepaskan hak untuk memohon semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, apabila menyerahkan kedaulatan sebahagian daripada wilayah negara kepada negara lain dengan begitu mudah sekali. Ini telah mengecewakan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Malaysia sebelum ini memfailkan permohonan semakan di bawah Artikel 61 Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2 Februari 2017 dengan memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 11 hingga 18 Jun 2018 telah dibatalkan susulan tindakan kerajaan PH menarik balik permohonan berkenaan. – MalaysiaGazette