KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan balas oleh peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung tuntutan cukai tertunggak RM9.41 juta yang sedang dihadapi olehnya.
LHDN ketika membuat permohonan itu mendakwa tuntutan balas oleh Muhammad Shafee yang juga peguam kanan beberapa kes berprofil tinggi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya menyalahgunakan proses mahkamah.
Tuntutan Muhammad Shafee didakwa bercanggah dengan Aturan 73 Kaedah 4(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang memperuntukkan seseorang tidak boleh membuat tuntutan dalam prosiding oleh kerajaan seandainya melibatkan tuntutan cukai.
Sebaliknya menurut LHDN, Muhammad Shafee perlu membuat permohonan semakan kehakiman dan bukannya tuntutan balas.
Muhammad Shafee sebelum ini pada Ogos lepas membuat tuntutan balas berhubung notis taksiran antara 2011 sehingga 2016 terhadapnya adalah berniat jahat serta melanggar undang-undang.
Pada 6 Mei lalu, kerajaan Malaysia LHDN memfailkan saman terhadap Muhammad Shafee menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.
Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Muhammad Shafee, 69, sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama lima tahun.
Berdasarkan penyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2016, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM621,291.85, RM978,854.11, RM3,581,500, RM1,735,124.03 dan RM1,826,557,87 melalui Notis-notis taksiran (tambahan) bertarikh 27 Mei 2019.
Dakwa plaintif, sehingga kini defendan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan genap masanya dan perlu dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atasnya, kesemuanya berjumlah RM9,414,708.32. -MalaysiaGazette